Gugusan Syair Alif Mokhter
Wawasan 2020
Tua ku kini hanya menuntun
Pelbagai rancangan kerajaan dah susun
Rakyat berusaha amatlah tekun
Memajukan negara tahun ke tahun
Kini ditaja Wawasan 2020
Dijalankan semestinya bersungguh-sungguh
Setiap lapisan sama berkayuh
Agar matlamat sempurna berlabuh
Tiga puluh tahun masanya diberi
Selama itu usah berdiam diri
Masing-masing kelak menyumbangkan bakti
Bekerja berusaha sepenuh hati
Anak-anak yang kini pergi sekolah
Bermalas-malas, berleka tak usahlah
Ibu dan bapa patut membelasah
Bila usahanya banyak yang salah
Pemuda-pemuda diri sentiasa sihat
Bertekun berusaha setiap saat
Halakan perjuangan menuju matlamat
Ke lembah hina usahlah dibuat
Pemudi-pemudi di negaraku Malaysia
Kembang bangsa mekarnya dipuja
Bersiap-sedialah memutar roda
Penggerak mesin kemajuan negara
Pihak bertanggungjawab usahlah latah
Terutama pemimpin penggerak ummah
Jauhi diri dari rasuah
Kamulah cermin orang di bawah
Akan pincanglah jalannya nanti
Wawasan yang bersama kita mengisi
Di antara kita bersamalah menyedari
Tanggungan masing-masing mesti dipenuhi
Bila ke matlamat yang dituju tiba
Tidak sempurna apa yang ditaja
Usah disesali pada pengasasnya
Di sana mungkin kesalahan kita
Banyak contoh dah kita pandang
Salah diri dikatakan dek orang
Memetik ros beringat kurang
Koyak baju dek durinya memegang
Kedapatan kini penjual temberang
Beria-ia minta dijulang
Kononnya telur rupanya tembelang
Dia kenyang kita radang
Itu si bodoh mengaku pandai
Betul menaja salah mengelarai
Orang dah tiba kita belum sampai
Bak batang buruk dimakan asai
Tulisan ini adalah pandangan
Di orang tua memberi penilaian
Kiranya diyakini jadikan ingatan
Betul tidaknya sama-samalah saksikan
Rabu 10.00 malam - 6 Mei 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)