Gugusan Syair Alif Mokhter

Usaha Terus Menuju Wawasan

Masa yang berjalan terus-menerus
Tidak ku biarkan sengaja bolos
Dengan hati yang kudus tulus
Kerja aku berjalan tak putus-putus

Di mana jua ada luang dan lapang
Baik pendek mau pun panjang
Di sana aku temberang atau berbegang
Juga menulis atau bekerja di ladang

Kekosongan diisi setakat termampu
Bekerja berusaha sejak kecil dulu
Berhasil tidaknya terpulang kat Yang Satu
Pada ku hanya terus maju dan maju

Banyak orang tak mampu menurut
Mengumpul remah atau mengutip melukut
Memanjat bukit atau mengharung selut
Berburu, memancing atau mengutip siput

Mahukan hasil dan faedahnya ada
Biar kecil kalau besar pun sama
Tolak yang haram dan kerja percuma
Yang asi, merompak, menyamun umpamanya

Balik ke rumah mesti ada beban
Digunakan sekarang atau untuk persediaan
Untuk dimakan atau buat disimpan
Malah memudahkan maknya nak memerlukan

Kini usia aku dah bertambah lanjut
Di mana kulit-kulit dah kecut-mecut
Gigi pun dah semuanya tercabut
Uban pun memutih tak lagi disebut rambut

Mesti bercermin untuk keperluan membaca
Atau menulis dari perbagai perkara
Kini ditambah dah sombong pula
Tegal pendengaran dah tak tepat ku terima

Usah diheran dek perut ku memboyot
Badan gemuk berjalan terhinggut-hinggut
Ditambah misai dan memanjangkan janggut
Kerana makan belum pernah ditolak perut

Oleh rajin dipelbagai usaha
Dibuat perbandingan dan sebutan pula
Masyarakat tempatan dengan sengaja-sengaja
Memberi jolokan: "Mampu diseberang kerja"

Itulah Alif Mokhter seorang peneroka
Petani, penulis, pengusaha, pelabur jaya
Berfikiran luas mudah berbicara di sebarang masa
Banyak pengalaman sejak kecil dah mengumpulkannya

Selamat membaca tulisan aku ini
Penat membaca simpan baik-baik kat peti
Bila bertemu tidak berkenan di hati
Usah pula bapak dimaki-maki

Tentu sekali dah tahu dek pembaca
Kat gading retaknya amat ketara
Oleh retaknya taklah menggugat nilainya
Demikian silapnya bapak, maafkan saja

Sabtu 3.00 petang - 25 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)