Gugusan Syair Alif Mokhter
Usah Tergoda
Aku menulis tak ada waktunya
Tegal ilham tak tentu adanya
Pagi, petang atau malam datangnya
Di sana tercipta pelbagai maksudnya
Jam tujuh pagi ini
Aku dah duduk atas kerusi
Program menuris tertutup kini
Batang basah dek hujan tadi
Menulis syair laju sekali
Baca baik-baik maksudnya difahami
Tergesa-gesa mahulah dijauhi
Ada baiknya dulukan mandi
Kurang beringat kerja berloloh
Endahnya pula tidak senonoh
Badan penat mutunya jatuh
Beringatlah tuan sebelum menempuh
Kiranya bekerja tergesa-gesa
Mungkin khilaf datang menerpa
Rugi dan sesal dah tentu ada
Mengulang kembali kan menambah masa
Patut bersabar apa yang berlaku
Senjata hidup gunakan selalu
Di sertakan syukur kat Tuhan Yang Satu
Segala kepayahan mustahil berlaku
Jalankan tugas jadikan keperluan
Jauhi diri membanyakkan kemalasan
Ada usaha adalah habuan
Duduk membeke (berleka) memanggil kecelakaan
Usah difikir nak memilih kerja
Ada luang masuklah segera
Kiranya sekarang tidak diterpa
Bila besok sudah tiada
Oleh banyaknya penganggur kini
Kosongnya kerja payah dicari
Berebut-rebutan dek sebuah kerusi
Kiranya berduit boleh dibeli
Itulah kini disebut rasuah
Peduli ditegah asalkan mewah
Karib kerabat biarlah marah
Selagi kedudukan tidak dicanggah
Apalah ertinya zaman kemajuan
Pekerjaan ada tegal duitan
Mahir tidaknya usah pedulikan
Masa kehancuran dah sangat berhampiran
Ingat kawan terutama yang berkuasa
Jalan yang adil masih terbuka
Sesat di hujung ke pangkal segera
Kiranya mahu kekal sentosa
9.00 pagi - 18 April 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 1999 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)