Gugusan Syair Alif Mokhter

Penutup

Dah hampir sebulan duduk berleka
Tidak berpantun, bersyair, berseloka
Bukan dek malas atau tak bermasa
Cuma ilham tak kunjung tiba

Sekarang aku cuba menggagahi
Dengan bersyair yang aku sukai
Tanpa berpunca dari sanubari
Di situ perlu aku kan lalui

Lembar demi lembar makalah ini ku buka
Nyatalah berbakinya tak berapa muka
Ingin dipenuhi kosongnya segera
Agar tersimpan cepat kat para

Bacalah, amatilah adik dan kakak
Isi kandungannya yang bagini banyak
Pilih saja yang mana mustahak
Kiranya tak berguna usahlah dicampak

Aku ingin di sini merakamkan
Tatkala membaca yang dipaparkan
Tersigung diri berilah kemaafan
Usahlah marah usah diberi cacian

Peram saja ke dalam kalbu
Banyakkan sabar ketika itu
Berhentikan membaca kiranya perlu
Bawalah diri mengadap kat pintu

Ada lagi yang lebih baik
Dalam membaca hati terusik
Ke bilik air pergilah copek
Mandi berwuduk solat dibuek

Ini pesan dari rang tua
Maklum umur dah lanjut usia
Dah mengalami banyak perkara
Demikian perjalanan dah merata-rata

Adat orang dah banyak ditengok
Loghatnya berubah perlu ku masuk
Di utara di selatan tok dah masuk
Padakan perangai kita nak elok

Di mana langit kita junjung
Di mana bumi kita mencangkung
Laku kita jangan menyombong
Buatan kita usahlah serong

Di mana saja tersigung kan tiba marah
Bila dilayan kan bertambah parah
Kerap di sana iblis mencelah
Tujuan yang baik mungkin berubah

Banyak pendapat yang mengatakan
Marah itu api diumpamakan
Maka api air yang memadamkan
Dengan berwuduk marah disiramkan

Hendaknya sabar kekal berserta
Dalam diri di mana saja berada
Orang yang sabar Tuhan berseta (berserta)
Kenyataan ini dalam Quran tertera

Tentang bersyair apalagi membaca
Tulisan sendiri atau orang mencipta
Sejak dulu amatlah sukanya
Tidak berkira apa pun bahasanya

Nenek bersyair aku mendengar
Lagunya merdu amat ku gemar
Hingga sekarang masih ku hafal
Ada kalanya pada murid ku ajar

Syair berdah dan juga berzanji
Berbahasa arab memuji nabi
Dapat ku lagukan bersama qari
Terutama di malam orang berkenduri

Demikian bersyair dikatakan bernazam
Dilagu didendang kat budak berkhatan
Atau diindoikan kat anak berandam
Di sana dipotonglah kambing dan ayam

Kenduri kahwin kini berkompang
Membaca syair turut didendang
Tua dan muda di sana tercengang
Oleh lagunya amat sesuai sekarang

Aku sendiri memimpin sebuah kumpulan
Dikenali nama Nasyid Almizan
Syairnya ku karang mengikut edaran
Cuma lagunya saja dari saringan

Kumpulan ini satu ketika
Sudah naik kepuncak menara
Menjadi johan seluruh felda
Berturut-turut dua tahun berjaya

Demikian sukanya aku kat syair
Menulis membaca di mana hadir
Menyanyikan nazam di dalam musafir
Terutama lagu-lagu padang pasir

Kepada adik, kakak dan kawan
Tatkala membaca maulah diteruskan
Eloknya sebuah bukunya ditamatkan
Di sana kan bertemu satu kepuasan

Banyak orang mencari hiburan
Berkongsi ke pantai dengan rombongan
Mendaki gunung dengan banyak cabaran
Ke taman bunga di hari-hari percutian

Ada lagi hiburan orang
Ke panggung wayang ke tasek berenang
Memancing ikan memungut kerang
Berpesta, berkelah duduk bersenang

Aku jo memilih satu kesukaan
Dengan menulis mencipta keindahan
Biarpun terperuk berhari-harian
Sukanya tamat satu nukilan

Setakat ini dah siap tiga jilid
Buku syair yang dah ku catit
Dua antaranya dah pun bertaip
Mungkin yang ini pula menjangkit

Syair, pantun, nazam, seloka
Cerpen, sajak, novel, derama
Antaranya cabang dari sastera
Terkandung dalam budaya bangsa

Berkembangnya sastera sejak dahulu
Demikian juga syair turut maju
Digemari pembaca dengan berlagu
Apa yang terkandung menikam kalbu

Kiranya syair mahu diketepikan
Oleh generasi kini yang membencikan
Seertilah juga menolak kebangsaan
Hilang bangsa hilanglah ketuanan

Hidup bangsa tegal budaya
Gambaran seseorang walau di mana
Di kenali dia dari bangsa apa
Oleh gayanya tinggal di sana

Kini syair ditulis huruf rumi
Dulu orang menggemari huruf jawi
Tegal rumi budaya kan mati
Kerana jawi huruf melayu sejati

Itu ertinya budaya nak hilang
Tulisan melayu tinggal terbuang
Kelak bangsa ku tak boleh temberang
Memiliki huruf kepunyaan orang

Orang dah heran melihat aku
Menulis jawi setiap waktu
Membeli majalah atau pun buku
Bertulis rumi bacaan ku selalu

Menulis rumi bukanya tak mengerti
Membaca jawi bukan tak meminati
Cuma diri ini amat menyedari
Masa diikut budaya dihormati

Wahai anak dan jua cucu
Di mana tegak sesuaikanlah diri mu
Usah dipertahankan masa berlalu
Budaya mu baik gilaplah selalu

Perlulah diingat oleh semua
Mengutip menambah pengisi dada
Dengari nasihat orang tua-tua
Mungkin nasihatnya ada yang berharga

Usah ditelan dek dia tu baru
Jangan dibuang dek lamanya di situ
Ambil yang baru mana yang perlu
Pilih yang lama yang masih laku

Terutama sekali sastera kita
Banyak terdapat di mana saja
Jadikanlah bacaan setiap masa
Terutama syair bercorak ugama

Kalau perlu bertulisan jawi
Bacalah, tatapilah dengan teliti
Kalau hurufnya tak dikelani
Ikhtiarkan belajar guru dicari

Fakir memang mudah berleter
Terutama nasihat kat mana yang hadir
Ada yang meluat tanpa berfikir
Cepat berundur mulut membebel

Sebanyak mana yang nyatanya benci
Masih ada pula yang menyukai
Seperti jua syair ku ini
Fakir berusaha untuk berbakti

Suka tak suka jalan ku lalu
Baca tak baca biarkan saja di situ
Mungkin ketikanya ada yang lalu
Hatinya tertarik nak melihat buku

Dari yang banyak-banyak dia yang buruk
Terletak jauh terperuk di ceruk
Entah-entah Tuhan nak beri petunjuk
Buku yang buruk terus ditengok

Bersinar sama intan dan kaca
Dapat dibezakan dek banyak membaca
Berharga tidaknya sesebuah benda
Manikam dikenal dek jauhari saja

Biarlah dianggap mutunya kerdil
Tidak berguna dijadikan dalil
Terpulang saja kat Rabbul Jalil
Menghakimi buktinya dengan adil

Sudah sampai pada ketikanya
Untuk menutup pada hujungnya
Sebelum di tutup pada tempatnya
Hanya sedikit hamba meminta

Kepada pembaca yang tinggi darjat
Samada jauh atau pun dekat
Sepuluh jari fakir mengangkat
Mohon dimaaf tersalah terkhilaf

Mana yang elok usahlah dipuji
Serahkan saja kepada Rabbi
Mana yang buruk usah dikeji
Sifat insan salahnya dah pasti

Oh Tuhan demikain adanya
Selama ini hamba mu meneroka
Mengarang syair ingin berjasa
Mana yang baik dikau yang punya

Syafaat Nabi mu Rasul pilihan
Berpandu aku Hadis dan Firman
Fakir bersedia menambah pengetahuan
Sebanyak mana Tuhan ku kurniakan

Demikian ini saja adanya
Selamat berbahagia pembaca semua
Dunia Akhirat kekal bersaudara
Bertaqwa, beriman selama-lamanya


Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakaatuh

24/25/26 Jun 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)