Gugusan Syair Alif Mokhter

Pejabat Pos

Malamnya hujan terlalu lebat
Jam satu hingga jam empat
Hingga pagi selimut ku rapat
Nak kerja kat kebun malas membuat

Semalam sekitarnya semuanya kering
Sekali hujan menghilangkan boring
Paginya aku masih terbaring
Tiba-tiba teringat poket tak bersyiling

Bersegera aku setelah mandi
Mengayuh basikal seorang diri
Dengan berselipar pengalas kaki
Ada yang mengata aku dah bengkrapsi

Peduli apa orang mengata
Ku tunggu bas atau kereta
Nak ke kota sekarang tak kerja
Pada ku bandar mata ku jaga

Betul apa yang aku rasakan
Tiba di bandar jelas perubahan
Terutama poket isinya didulukan
Untuk bil mesti dijelaskan

Segera aku ke Pejabat Pos
Di sana ada tersimpan ongkos
Diambil pada untuk membolos
Tidak pula berlaku boros

Segala kerja dah ditunaikan
Kembalilah aku berlenggang tangan
Tanpa sesuatu aku belikan
Kerana di rumah lengkap persediaan

Tiba di rumah sungutan bertalu
Tabiat maknya memang begitu
Ada-ada saja ini dan itu
Ragam budaknya sejak dulu

Itu tidak ku ambil kisah
Asal aku tidak dibelasah
Cepat-cepat menjungkang sebagai helah
Maknya tahu mengelakkan berbalah

Kerusi tua yang aku tiduri
Banyak faedahnya yang aku ketahui
Tempat berehat sehari-hari
Di situ menjungkang tak lagi dihampiri

Kini terlentang tak pula lena
Kerana ilham tiba-tiba menjelma
Menulislah aku semahu-mahunya
Demikian catitan dapat dibaca

Oh Tuhan Yang Maha Tahu
Dikau saja tempat ku mengadu
Kekalkan kesabaran yang ada pada ku
Hingga tamatnya gerak nadi ku

Selasa 2.00 petang - 28 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)