Gugusan Syair Alif Mokhter
Melangkahi Tiga Zaman
Aku kini seorang tua
Dulunya muda gagah perkasa
Kini bekerja tak berapa terdaya
Dulu bekerja seperti hamba
Teringat aku muda-muda dulu
Banyak kerja dah dimaju
Makan gaji taklah setuju
Kat penjajah haram kata ku
Bertukang berternak bercucuk-tanam
Minat ku ke sana tertanam dalam
Hutan ditebang diperun (bakar) dilatam(?)
Rumah ditegak upahnya diidam
Sejak kecil dinasihati ayah
Menjadi guru membuka tanah
Ketiga berniaga mengumpul faedah
Lain-lain kerja usah dilelah (kejar)
Datuk nasihati tiga juga
Menjadi ulama menjadi raja
Menjadi pawang berfaedah ketiganya
Pilih salah satu dari nang tiga
Enam semuanya terkumpul nasihat
Menjadi raja taklah berminat
Kiranya boleh nak mewakili rakyat
Yang lima lagi semuanya dihajat
Semua kelimanya dah pun dicuba
Dimasuki semuanya dah pun berjaya
Menjadi guru ustaz sukarela
Untuk bertani sekarang peneroka
Demikian peniaga membuka syarikat
Untuk majunya tak dapat meningkat
Banyak yang iri aku dipecat
Kini lebur hidupnya disekat
Demikian pawang aku lalui
Menggunakan ubat ramuan asli
Menjadi ulama bekalan sendiri
Memegang hukum peninggalan nabi
Di dalam usia yang begini lanjut
66 tahun sudah luput
Bekerja buat setakat terpaut
Untuk hidup jangan kusut
Di kala muda taklah gitu
24 jam sanggup berlari laju
Bukit lurah paya dilalu
Terbuat dek orang terbuat oleh ku
Memancing ikan berburu binatang
Pagi pergi baliknya petang
Membelah ikan melapah kijang
Siang dan malam penuh riang
Ini seolah-olah sebuah impian
Dalam berlalunya di tiga zaman
Inggeris Jepun kini kemerdekaan
Penerokalah kini mungkin dikekalkan
Selasa 4.00 petang - 5 Mei 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)