Gugusan Syair Alif Mokhter

Marah

Semalam masa yang begini
Tepat jam sebelas pagi
Aku menjungkang atas kerusi
Separuh lena dikacau isteri

Aku melenting amatlah marah
Kata-kata yang bisa keluar mencurah
Maknya ku lihat keluh-kesah
Merasa dirinya agaknya bersalah

Sejam kemudian lena kembali
Terperanjat pula sekali lagi
Tegal ayam aku dilangkahi
Dihalau maknya nak lekas lari

Aku marah seperti singa
Kerusi direntap dipikul segera
Sepantas yang boleh untuk ke beranda
Menjungkang di sana tak pula lena

Fikiran datang tak tentu arah
Berlama-lamaan diganggu marah
Dicatitkan di sini sebagai juadah
Sama berkumpul perlbagai kisah

Datang marah pelbagai jalannya
Terlalu letih hampir muaranya
Kiranya tidak mereka merasa
Menyombong, memarah tegal kuasa

Bila letih menghantui diri
Tentulah berehat mesti dicari
Kiranya berehat tidak didapati
Marah terpendam senang terjadi

Terbukunya di sana mempunyai jarum
Bila tersentuh meletup mengaum
Mana yang dekat bahananya terangkum
Hanya sabar boleh tersenyum

Awasi hati datangnya marah
Ia laksana bara menyala merah
Tersentuh saja dek minyak tanah
Maraknya membawa sebuah padah

Ada kata-kata teringat di hati
Dikeluarkan dulu oleh Tok Aki
Marah itu laksana api
Padam ianya air menyirami

Bila marah datang menjenguk
Lekas-lekas mandi kemudian berwuduk
Api yang marak kan terus sejuk
Kemudian tidur tibalah mengantuk

Malangnya lupa kata-kata ini
Tatkala dilanda marak ku tadi
Cuma Astaghfar yang dapat di beri
Mengharap keampunan Tuhan ku Rabbi

Terimalah ini sebuah tulisan
Memenuhi ruang yang banyak kekosongan
Ampun maaf kiranya tak berkenan
Usah dikoyah usah dimusnahkan

Isnin 11.40 pagi - 27 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)