Gugusan Syair Alif Mokhter
Macam Macam Kerja
Banyak kerja dah aku buat
Menyirat jala menunggu belat
Membuat rumah menyapu cat
Menganyam rotan menjahit menekat
Memburu binatang menangkap ikan
Mengutip damar memikul rotan
Buruh pelabuhan memasuki relawan
Menjadi ustadz dan pemberita sambilan
Demikian mengarang menyusun ayat
Huruf direka pelbagai khat
Hingga kini tulisan ku berlipat-lipat
Orang membacanya banyak tak tepat
Makan gaji aku anggap haram
Dengan penjajah aku tak ngam
Zaman merdeka aku duduk diam
Hingga ke tua kat kampung mengeram
Dalam diam-diam menulis dibuat
Hingga kini dah banyak sangat
Dalam rak-rak di sana padat
Tak satu ke percetakan disumbat
Rumah kayu yang dulunya ditegak
Diroboh kemudian batu dipacak
Jala ditukar jaring dilambak
Kelarai dibuang cermin dipasak
Aku kini dah jadi penuntun
Laku dan peel orang berduyun
Pembaruan datang tahun ke tahun
Yang lama hangus yang baru terpegun
Aku tidak pula menangisi
Dek kemahuan manusia zaman kini
Otak mereka dah kian tinggi
Mengubah yang lama kerana memperbaiki
Demikian kebaikan aku jadi peneroka
Menegak rumah dulu bekerjasama
Menanam padi meneroka paya
Berkebun getah diawasi Felda
Ikan dapat banyak di sana
Ditangkap dengan perbagai cara
Untuk berburu tanpa cara
Kijang, kancil, burung dan rusa
Musuh di air dan musuh di darat
Harimau, buaya dan jua penjahat
Dulu di sana boleh terdapat
Pada penduduk tak jadi mudharat
Di awal enam-puluhan bermulanya di sana
Sekarang cuma dah jadi cerita
Berbasikal dulu kini berkereta
Sekarang neon dulunya pelita
Ini hanya untuk imbauan
Cucu-cicit padanya Tok katakan
Peritnya Tok dalam penghidupan
Siang malam penuh perjuangan
Selasa 3.45 petang - 28 April 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)