Gugusan Syair Alif Mokhter
Hanya Inilah Derma Baktiku
Sekarang dah hampir pukul empat
Masih menulis sebanyak yang dapat
Malangnya ilham sedikit sangat
Tengoklah seninya terlompat-lompat
Menulis syair amat ku minati
Aku ciptakan bersungguh hati
Di samping masa terluang kini
Kosongnya perlulah aku mengisi
Kepada Tuhan sentiasa berserah
Agar ilham sentiasa Dia anugerah
Memudahkan aku dalam bermadah
Buktinya kekal memberi faedah
Demikian pesuruhnya tak ku lupa
Nabi Muhammad penghulu kita
Mengharap syufaatnya sentiasa ada
Daku dianugerahinya sebilang masa
Quran dan Hadis aku dampingi
Aku tuntun di samping meneliti
Dijadikan pedoman semasa berbakti
Melindungi usaha ku dicampuri asi
Ada kalanya aku berderma
Quran dan Hadis diajarkan percuma
Sekadar mengenalinya dan boleh membaca
Setakat kemampuan aku berusaha
Tegal tua taklah lagi larat
Oleh usia dah jauh meningkat
Mata pula dah diselaputi karat
Demikian telinga dah separuh tersumbat
Setakat termampu aku lakukan
Hanya menulis bekal peninggalan
Mungkin berfaedah dek orang kemudian
Sesudah dibaca dan buat penelitian
Aku susun menuruti sukma
Pantun syair dan sedikit rencana
Di mana lapang dan ilham menerpa
Di situ tulisan aku kan berjela-jela
Taklah menulis tanpa yakin
Tak ada copy tak pula menyalin
Boleh disempurnakan tanpa mesin
Ditulis tangan sudahnya terjamin
Dah lama diusahakan begitu
Tiap-tiap menulis disediakan buku
Sudah menulis disusun di situ
Jilid demi jilid tak pernah terganggu
Cuma tulisan aja tak cantik
Generasi kini membacanya tak dapek (dapat)
Di mana tersimpannya jagalah baik-baik
Berikan kiranya ada penyelidik
Mungkin inilah sebuah derma
Untuk anak, nusa dan ugama
Terpelihara kekal selama-lamanya
Berpandu dengannya adalah percuma
Rabu 4.00 petang - 6 Mei 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)