Gugusan Syair Alif Mokhter

Dunia Titian Akhirat

Kerajaan telah mengadakan kemudahan
Menggunakannya ada pula pembayaran
Pembayaran semuanya mesti dijelaskan
Kalau tidak akan diberhentikan

Api dihantarkan hingga ke rumah
Seulas saja jari mencecah
Makanan pun masak tanpa kerenah
Gelap di sana terangnya mudah

Air juga dah disalurkan
Membasuh mencuci amatlah menyenangkan
Putar saja air pun bersemburan
Bil tak jelas diberhentikan catuan

Tanah diberi untuk kebun
sawit, getah, koko dan dusun
Pungutlah hasilnya dengan tekun
Bayarlah cukainya setiap tahun

Tidak dibayar tempohnya sampai
Boleh dilelong boleh digadai
Nasib pengusaha terus dipertikai
Kemudahan yang ada mungkin terburai

Banyak lagi kerajaan lengkapi
Berternak, bertukang, berniaga, bertani
Pastilah sanggup untuk dikendali
Kalau tidak 'kan sia-sia dan rugi

Pemborong, nelayan, pekerja, pengembala
Mesti sanggup mencurahkan tenaga
Ada kejayaan kerajaan bersedia
Memberikan bantuan sebanyak dipinta

Semuanya itu pelengkap dunia
Kemewahan hidup kata mereka
Padakah dengan itu semua
Tanpa dikenang khalik Pencipta

Amat beruntung sesiapa saja
Pelengkap dunia sampai kat kita
Beramal beribadat diusahakan pula
Bekal Akhirat untuk ke sana

Kemewahan di dunia amatlah singkat
Tidak seperti nikmat di Akhirat
Tatkala di dunia sedia beribadat
Tuhan balaskan sebanyak diperbuat

Di sebalik mewah ada sengsara
Tegal diri tersalah bawa
Segala pertunjuk ditolak saja
Bergelumanglah mereka dalam noda

Kalau noda kekal dibuat
Sebilang masa melakukan maksiat
Terimalah balasan di dunia dan Akhirat
Di dalam neraka kelak tertambat

Wahai anak lelaki perempuan
Tatkala di dunia kumpullah bekalan
Bila ajal berlakulah perpindahan
Ke satu tempat tak boleh diengkarkan

Isnin 12.45 tengahari - 18 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)