Rafeah Buang - A Special Tribute
Utusan Malaysia - 25 Julai 2002
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Anak Cina memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Dalam hati tidak akan ku lupa
Bagai rambut tersimpul mati
Demikian bait pantun dalam lagu Gurindam Jiwa yang dinyanyikan oleh Datuk Rafeah
Buang bersama AR Ismail untuk filem Gurindam Jiwa. Filem itu meminjamkan nyanyian
Rafeah dan AR Ismail untuk digayakan oleh Nordin Ahmad dan Latifah Omar.
Menjelang subuh semalam, sehari sebelum genap ulang tahun kelahiran ke 54, Rafeah
telah menghembuskan nafas terakhir setelah sekian lama menderita melawan penyakit
barah yang dihidapi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarham
diterbangkan ke Pekan, Pahang dan disemadikan di sebelah pusara anaknya, Tengku
Amirul Ashraf di Makam Diraja Pekan, petang semalam.
Dari Singapura dan kemudian menjadi sebahagian daripada keluarga diraja Pahang,
Allahyarham tidak pernah menjadikan kedudukan sebagai pemisah dengan masyarakat
biasa.
Allahyarham terus menyanyi selepas berkahwin dengan Tengku Asmawi Tengku Hussein
tahun 1970.
Bait pantun Gurindam Jiwa seperti serasi dengan peribadi Allahyarham yang aktif
dalam aktiviti masyarakat selain sesekali diundang menyanyi untuk majlis-majlis
kenamaan. Kerana itu siapa yang akan dapat melupakan jasa dan prihatin Allahyarham
sentiasa mendampingi masyarakat.
Tentunya yang merasa kehilangan pada subuh semalam bukan saja keluarga dan sanak
saudara Allahyarham malah siapa saja yang mengimpikan seorang artis yang beradab
sopan dan bebas daripada kontroversi.
Dalam kemasyarakatan, Allahyarham bergiat dalam Lembaga Perempuan Islam Pahang,
Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, Jawatankuasa Antidadah Daerah Pekan dan Pergerakan
Wanita UMNO Pekan.
Allahyarham meninggalkan suami, Tengku Asmawi seorang kerabat diraja Pahang, dan
tiga orang anak iaitu Tengku Ahmad Ashraf, Tengku Khairil Ashraf dan Nurul Iman
Saleha.
Dilahirkan di Kampung Pisang, Singapura pada 25 Julai 1948 dan bintang dalam dunia
nyanyian berkilau selepas menjuarai Bintang Satria Singapura tahun 60-an. Kejuaraan
itu bagaikan percikan cahaya tentang kelahiran seorang penyanyi baru yang
mempesonakan. Ada rupa, ada suara dan ada santun gadis Melayu.
Allahyarham pernah disambut sebagai seorang wira oleh orang-orang kampung di stesen
kereta api Tanjung Pagar, Singapura semasa pulang membawa kejayaan sebagai juara
Bintang Radio di Kuala Lumpur. Ketika itu Allahyarham menyanyikan lagu Bakti Setia.
Sepanjang penglibatan sebagai penyanyi, Allahyarham telah menawan hati peminat
dengan lagu-lagu seperti Gurindam Jiwa, Selasih Ku Sayang, Kenangan Di Rantau
Abang, Don Juan, Bisikan Hati dan Di Luar Jendela.
Allahyarham juga antara artis yang menjayakan majlis pelancaran Kelab Veteran
Utusan Melayu (KVUM) di Hotel Pan Pasific pada Januari 2000. Pada majlis itu
Allahyarham menyanyikan tiga lagu iaitu Kenang Daku Dalam Doamu, Di Wajahmu Ku
Lihat Bulan (duet bersama Sani Sudin) dan Selamat Tinggal Bungaku.
Rakan Allahyarham, penyanyi Jefrideen berkata, semasa di Singapura Allahyarham
bermula dengan lagu-lagu langgam dan asli kemudian baru menyanyikan lagu pop 60an.
``Masa itu syarikat rakaman merancang menerbitkan album duet saya dengan Allahyarham,
tetapi tidak tercapai hingga kami berpindah ke Kuala Lumpur,'' kata Jefrideen
ketika dihubungi semalam.
Menurut Jefrideen, beliau hanya berduet dengan Allahyarham semasa membuat pertunjukkan
pentas tahun 60-an.
Penyanyi veteran Ahmad Jais yang pernah merakamkan lagu duet dengan Allahyarham
berkata, lagu Juita Ku Sayang meninggalkan kenangan manis mereka kerana popular
ketika tahun 60-an.
``Kami memang selalu berjumpa semasa membuat persembahan, dah macam keluarga bila
sama-sama ke Kuala Lumpur,'' kata Ahmad Jais yang sebelum ini telah beberapa kali
melawat Allahyarham di Hospital Kuala Lumpur.
``Suara dan peribadi Allahyarham seimbang. Di situ kelebihan yang membuatkan orang
terus mengingati sekalipun telah lama tidak menyanyi,'' ujar Ahmad Jais yang tidak
sempat melawat untuk kali terakhir kerana berada di Melaka.
Penyanyi generasi baru, Siti Nurhaliza mempunyai ingatan manis kerana pernah bersalam
dengan Allahyarham semasa kanak-kanak.
``Setelah saya jadi penyanyi, Allahyarham selalu berpesan, teruskan apa yang saya
lakukan sekarang,'' kata Siti Nurhaliza yang menyelitkan lagi Bisikan Hati yang
dipopularkan oleh Allahyarham.
Banyak kalangan peminat tidak tahu bahawa selain menyanyi Allahyarham juga meminati
bidang penulisan dan menganggotai Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) bersama beberapa
sasterawan terkenal semasa di Singapura. Kerana itu tidak hairanlah kalau Allahyarham
merupakan kolumnis majalah URTV terbitan Kumpulan Utusan sejak 1993 hingga 2001.
Malah turut menghasilkan buku daripada penyelidikan terperinci mengenai sejarah asal
usul kain tenunan Pahang. Buku bertajuk Kain Tenun Pahang itu dihasilkan setelah
lebih setahun membuat penyelidikan sebagai dokumentasi khazanah seni yang hampir
pupus.
Berita Harian - 25 Julai 2002
Oleh Sariha Mohd Ali
Allahyarham, yang dilahirkan pada 25 Julai 1947 di Singapura, berkongsi tarikh lahir
dengan suaminya, Datuk Tengku Asmawi Tengku Hussain, 57. Malah, esok juga adalah
ulang tahun perkahwinan mereka ke-31 selepas diijabkabulkan pada 1971.
Rafeah, yang disahkan menghidap barah pada awal tahun ini, meninggalkan dua anak,
Tengku Ahmad Ashraf, 30, dan Tengku Khairil Ashraf, 29, serta seorang anak angkat,
Nur Iman Soleha, 6. Anak bongsunya, Tengku Ameerrul Ashraf meninggal dunia pada
1996 ketika berusia 11 tahun.
Penyanyi yang popular menerusi lagu-lagu seperti ‘Kenangan di Rantau Abang’, ‘Petaling
Jaya’, ‘Hati Ku Kau Curi’, ‘Udang Sama Udang’, ‘Suka Sama Suka’, ‘Jinak Merpati’,
‘Bila dikasihi’, ‘Cinta Zaman Sekarang’ dan ‘Don Juan’ ini, pernah mewarnai persada
seni tanah air selama tiga dekad sehingga awal 80-an.
Jenazah Allahyarham, yang diterbangkan dari stesen Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) Sungai Besi dan tiba di lapangan terbang TUDM Kuantan pada jam 10 pagi ini,
dikebumikan di Makam Diraja Pekan, bersebelahan pusara Tengku Ameerrul Ashraf,
petang ini.
Tengku Asmawi ketika ditemui pemberita di kediamannya di Sungai Miang di sini berkata,
isterinya mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia di sisi seorang pembantu
yang ditugaskan menjaganya sepanjang menerima rawatan di hospital itu.
Beliau berkata, anak sulung mereka, Tengku Ahmad Ashraf, yang ketika itu berada di
rumahnya di Pandan Indah, bergegas ke hospital selepas dimaklumkan mengenai kematian
ibunya.
Rafeah dimasukkan ke HKL pada 22 April lalu untuk menjalani rawatan kimoterapi dan
kemudian dimasukkan ke Hospital Pakar Selayang kerana menghadapi masalah kesukaran
untuk makan.
"Keadaannya lemah selepas dirawat selama lima hari di Hospital Selayang untuk
menjalani proses memasukkan tiub ke dalam perutnya berikutan tali perutnya mengecil.
"Allahyarham keluar dari Hospital Selayang dan dimasukkan semula ke HKL tiga hari
lalu. Ketika itu, makanan hanya dimasukkan melalui tiub,” katanya.
Kali terakhir Tengku Asmawi menemui isterinya itu ialah Jumaat lalu di Hospital
Selayang. Beliau terpaksa berada di sini kerana menjadi Penghulu Adat sempena
perkahwinan diraja Tengku Muda Pahang dijadualkan Sabtu ini.
Tengku Asmawi berkata, penyakit Rafeah itu disedari selepas Allahyarham menjalani
rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 2 Januari lalu kerana
sakit dada.
Pemeriksaan doktor mendapati ada kanser pada saluran darah di tulang belakangnya.
Rafeah, yang turut disahkan mengalami ulser di bahagian usus dan buah pinggang,
kemudian menjalani rawatan kimoterapi di HTAA pada 28 Januari.
Pada 4 Februari, Allahyarham diterbangkan dengan penerbangan ihsan TUDM ke HKL
untuk rawatan kimoterapi kedua. Pada 1996, Rafeah pernah dirawat kerana menghidap
barah rahim.
Turut menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Sultanah
Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Puan Pahang, kerabat diraja, isteri Menteri
Besar, Datin Seri Junaini Kassim, isteri Menteri Penerangan, Puan Sri Zurina
Kassim dan pakar masakan Chef Wan.
Berita Harian - 26 Julai 2002
DJ Dave
“Kami memang bersahabat baik sejak dulu lagi. Jadi, berita kematian beliau
benar-benar mengejutkan saya. Saya terkilan kerana tidak dapat memberi
penghormatan terakhir pada beliau kerana baru pulang dari Sabah.
“Kali terakhir saya bertemu arwah ialah dua tahun lalu. Kalau tidak silap, ketika
tu kami sama-sama diundang menjayakan persembahan RTM. Tapi persembahan bergerak
di seluruh Sabah pada pertengahan 80-anlah yang mengeratkan lagi persahabatan kami.
“Bagi saya Allahyarham sentiasa merendah diri, suka memberikan pertolongan dan
lemah-lembut. Sikapnya perlu dicontohi artis lain.”
Sharifah Aini
“Kali terakhir saya melawat arwah ialah selepas balik dari umrah, baru-baru ni.
Masa tu dia nampak OK dan boleh menjamah makanan.
“Sebagai sahabat, saya terasa kehilangannya. Dia antara rakan yang lembut dan
boleh bertolak ansur. Kawan dan peminat cukup menyenangi sikapnya.
“Kalau terserempak di mana-mana mesti kami tidak lepas berbual. Ada saja cerita
yang boleh kami kongsi bersama. Biasanya kami berborak kisah lucu.”
Ahmad Jais
“Persahabatan kami bermula sejak bergelar penyanyi pada era 60-an. Ketika itu,
kami kerap diundang menjayakan persembahan pentas bersama-sama.
“Tambahan pula ketika itu lagu duet kami, Juwitaku Sayang meletup di radio. Banyaklah
tawaran persembahan pentas diterima.
“Walaupun tidak aktif menyanyi selepas kahwin, sesekali Rafeah akan memenuhi
permintaan peminat. Kami juga masih saling bertanyakan khabar hinggalah saat
beliau diserang barah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang soleh.”
Zaienal Abidin Omar(Penasihat Persatuan Karyawan Malaysia)
“Karyawan ralat kerana Allahyarham sepatutnya menerima Anugerah Seri Wirama pada
AIM 2002, April lalu seperti yang dicadangkan dalam beberapa akhbar tempatan. Ia
sepatutnya berlaku ketika hayat Allahyarham masih ada, sebaliknya ia tidak diambil
kira oleh pihak penganjur.
“Kami juga ingin mencadangkan supaya pihak RTM dapat menerbitkan sebuah rancangan
khas bagi memperingati sumbangan serta bakatnya. Kami juga bercadang untuk
menganjurkan majlis tahlil yang akan berlangsung pada masa terdekat ini.”
Anita Sarawak
“Saya mula kenal arwah ketika usia saya 18 tahun, di Singapura. Ketika itu saya
memang minatkan lagu-lagu nyanyian beliau. Hinggalah suatu ketika kami selalu
diundang menyanyi bersama-sama dalam banyak program radio, TV dan pertunjukan
pentas. Ia membuatkan persahabatan kami semakin erat.
“Selama ini saya kagum sikap beliau yang begitu bersopan santun, lembut dan suka
melemparkan senyuman. Apapun, saya amat terharu dengan kekuatan semangatnya melawan
penyakit barah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.”
( Imno's Childhood Dream Artist )
Ke Halaman Utama
Copyright © 2002 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)