SEJARAH KELAHIRAN & PENGALAMAN
KOLEKSI LIRIK LAGU MELAYU

Setelah beberapa lama akhirnya saya dapat menyiapkan versi terbaru Sejarah Kelahiran Koleksi Lirik Lagu Melayu Imnogman. Catatan ini merupakan pengalaman awal saya semasa mula menyediakan Koleksi ini. Kemudian saya telah menambah sebahagian lagi berdasarkan pengalaman yang tercatat dalam Mingguan Koleksi Imnogman. Akhir sekali saya turut mencatatkan kejayaan yang pernah dicapai oleh Koleksi ini setakat ini.

Anda mungkin mempunyai beberapa persoalan dan kemusykilan mengenai Koleksi ini. Jika pertanyaan-pertanyaan anda bermotifkan pembelajaran, insyaallah saya akan cuba membantu setakat termampu.

Sumbangan lirik dan sokongan 'moral/material' boleh dihantar kepada IMNOGMAN..

29 March 2003 - Versi terbaru mengandungi beberapa catatan sejarah dari Mingguan Koleksi Imnogman .... 12 Januari 2002 - Sedikit pembetulan dibuat dengan tambahan MIDI .... 16 Jun 2000 - Catatan pertama Sejarah Koleksi dipaparkan ...
Koleksi Imnogman - 16 Jun 2000

1985 - Kali pertama mendengar kewujudan satu projek rangkaian komunikasi yang dinamakan JARING yang diuji, dilaksana dan diselenggara oleh MIMOS. Yang hairannya ia mengambil masa sepuluh tahun selepas itu barulah saya mendapat peluang menggunakannya iaitu pada 1994-1995.

1994 - Salah seorang rakan IT memperkenalkan kepada rangkaian BBS (Bulletin Board System). Lalu beli PC yang kedua iaitu i486 Multimedia PC dengan skrin warna SVGA dan Modem 14.4Kbps (paling laju pada masa tu). PC pertama dulu 8088 CGA (hehehe...). Ni tengah rancang nak beli Pentium III dengan SCSI kalau ekonomi baik (macam dapat 2 bulan bonus ke ? apa ke...). Sebab Notebook Pentium75 yang ada selalu membuatkan saya tertidur depan komputer. Slow sangat.

Sistem BBS ini menggunakan perkhidmatan dial-in dengan bilangan pengguna sesuatu masa biasanya kecil. Saya pun terus daftar kepada salah satu perkhidmatan BBS (kalau tak salah Online Malaysia) berkenaan dengan bayaran RM60.00 setahun. Hanya 10 pengguna dapat dihubung serentak melalui Modem/telefon. Dihadkan penggunaan kepada 2 jam sehari. Kita boleh download 'program file' seperti games, gambar, MIDI dan sebagainya dari server berkenaan. Kita juga boleh chat/IRC, tapi bilangan chatter terhad. Sistem email dikalangan ahli berdaftar juga ada. Banyak juga perkhidmatan BBS percuma disediakan oleh individu yang menetapkan masa yang terhad dan seorang pengguna pada sesuatu masa.

Saya menjadi juara download dalam tempoh 6 bulan pertama tapi tak tahu nak buat apa dengan fail komputer yang begitu banyak. Apalagi, arkibkan dalam disket yang beratus-ratus kat rumah tu. Sapa ndak ? Semua 'DOS base' program.

Satu yang menarik mengenai Sistem BBS ialah kaedah bertukar-tukar fail (download & upload). Ia juga mengamalkan konsep 'shareware' dan 'freeware' yang masih lagi wujud pada masa ini. Malangnya Sistem BBS ini tak dapat bertahan lama di Malaysia hasil dari penguasaan 'World Wide Web'. Kebanyakan mereka telah memindahkan perkhidmatan 'server' email, ftp dan irc mereka ke server www.

Berdasarkan kaedah inilah saya mendapat idea mencipta halaman Koleksi Lirik Lagu Melayu.

1995-1996 - Sibuk dengan pemasangan server untuk laman web tempat saya bekerja di samping menguruskan pemasangan rangkaian komunikasi internet ke JARING dan pemasangan 'Firewall'. Selepas berjaya disiapkan, sibuk pulak dengan 'surfing' X-Files, Games dan MIDI/RealAudio/MP3.

1997-1998 - Mula melawati dan mengkaji halaman-halaman peribadi yang berlambak-lambak dalam internet. Ada yang aktif dan ada yang tersembunyi. Anda boleh lihat dalam 'Bookmark/Favorites' saya. Berbagai idea ditemui. Waktu yang sama tengah sibuk belajar main 'keyboard' yang sampai kini pun masih tak dapat bezakan antara Minor dan Major. Internet menjadi sumber mendapatkan lirik. Malangnya untuk sementara saja sebab laman lirik yang hebat dan terkenal pada masa tu antaranya cuma Hamlau, Durian Online, Sentuhan Jiwa, Laman Lirik Malaysia dan Laman P Ramlee. Koleksi Lagu Melayu (realaudio) telah ada dijayakan oleh dRebar.

Masa tulah mula terfikir nak memiliki laman web sendiri. Lalu daftar di Tripod. Tapi cuma buat satu page saja. Maklumat peribadi. Masih lagi belajar menggunakan Web Mail, TCP/IP, HTTP, URL dan HTML. Kalau BASIC atau PASCAL tu lainlah, sonang jo.

Atas kekecewaan sukarnya mendapatkan lirik lagu, saya terus buat Koleksi Lirik Lagu Melayu pada hujung tahun 1998 di WhoWhere Pages. Masa tu saya sediakan senarai penyanyi banyak tetapi lirik yang ada cuma lirik lagu Ziana Zain saja (peminat setia lah katakan...). Yang lain habuk pun tarak. Tengok laman orang ada 'guestbook' dan 'counter', saya pun ikut sama. Suruh kawan-kawan isi. Adalah 2-3 orang yang 'sign'. Tiap hari memantau counter yang begitu lambat bergerak. Lalu buat pendaftaran di 'search engine'.

Yang paling seronok pada masa tu ialah dengan berbekalkan lirik lagu Ziana Zain, Koleksi Lirik Lagu Melayu tersebut telah ditemui dalam internet. Apalagi, pengunjung yang sedikit itupun mulalah kutuk. Mana tak kutuk, nama penyanyi bukan main banyak lagi, tapi isi tarak. Sabar jelah. Saya pun jawablah tujuannya untuk belajar saja. Tapi dalam hati rasa tercabar. Jadi sekitar April dan Mei 1999, saya pun mulalah meng'update' sebanyak lebih kurang 200 lirik yang ada dalam simpanan saya ke dalam Koleksi tersebut. Kena kutuk lagi sebab lirik lagu yang ada tu semuanya lagu lama. 'Boring'nya. Tapi masih belum patah semangat lagi sebab niat untuk belajar tu masih menjadi asas Koleksi ini dicipta.

Perkara yang ajaib (magic) boleh terjadi pada bila-bila masa. 'Have faith in your life'. Pada bulan Mei 1999, penyumbang pertama koleksi ini telah menyumbangkan beberapa lirik lagu. Tanda-tanda kejayaan Koleksi ini mula dirasakan. Satu semangat baru lahir. Ia sesuatu yang cukup menggembirakan kerana selain dari Koleksi ini telah 'ditemui' dalam internet, mesejnya juga telah sampai kepada pengunjung-pengunjung.

Tidak berapa lama kemudian muncul dua orang 'Penyumbang Lirik Terbanyak' yang memberikan sumbangan lirik lagu yang sungguh menakjubkan. aLiZa dengan lirik-lirik sekitar 80an dan RinaMS dengan lirik-lirik terkini tahun 90an. Ranking dalam search engine juga telah meningkat. Jika anda search 'lirik lagu' pada masa tu, anda akan mendapati Koleksi ini berada pada muka pertama search tersebut.

Walaupun kedua-dua mereka tidak lagi memberikan sumbangan secara aktif, tetapi mereka menjadi faktor utama kepada kejayaan Koleksi ini (thanks a lot gals... Tuhan saja yang dapat membalas jasa kalian).

Sekarang ini Koleksi ini telah mempunyai ramai penyumbang yang mempunyai citarasa yang tersendiri. Saya pun telah buat satu halaman khas untuk mereka. Saya akan terus mengekalkan konsep asas Koleksi ini iaitu 'give and take'. Kalau anda ambil lirik dari Koleksi ini, anda patut memberi sumbangan lirik kepada Koleksi ini untuk orang lain pulak. Koleksi ini akan 'mati' sebaik sahaja tiada lagi sumbangan lirik diterima. Dan buat masa ni saya akan terus korbankan masa lapang yang sedikit ini untuk menggembirakan ramai peminat-peminat Muzik Melayu di seluruh dunia. Enjoy !

*** *** *** *** *** *** *** *** ***

Mingguan Koleksi Imnogman - 28 Januari 2002

2002 - Ya, memang benar, Koleksi Imnogman bermula pada penghujung tahun 1998. Pada masa tersebut, saya telah membuka satu akaun di http://www.geocities.com/Vienna/Choir/9922/ (yang akhirnya menjadi http://www.geocities.com/imnogman/) dan satu lagi di http://members.tripod.com/~imnogman/ atau http://imnogman.tripod.com/. Tapi entah macamana, mungkin disebabkan pemerhatian yang kurang peka pada masa itu, saya telah daftar satu lagi akaun di http://pages.whowhere.com/internet/imnogman/. (Saya sepatutnya mengikut Hamlau & FarahAqil yang mempunyai akaun di Xoom.com ataupun mengikut Kasturi, Laman Lirik Malaysia, Durian Online, dRebar dan ramai lagi yang mempunyai laman web di Geocities).

Saya pun mulalah membuat satu page untuk mencuba atau suka-suka di Tripod dan meletakkan sedikit maklumat peribadi di situ yang saya padamkan tidak lama kemudian kerana saya sendiri rasa malu nak tengok. Saya juga melakukan yang serupa di Geocities. Tak tahu di mana puncanya, saya telah memulakan satu Koleksi yang saya namakan Koleksi Imnogman di akaun saya di WhowherePages. Pemilihan tersebut saya rasa berpunca dari kesukaran untuk mengemaskini di Tripod di samping URL's Geocities yang terlalu panjang pada masa itu. Akaun saya di Geocities akhirnya menjadi 'mirror site' kepada Koleksi Imnogman.

Walaubagaimanapun, Koleksi Imnogman hanya mempunyai satu Koleksi iaitu Koleksi Lirik Lagu Melayu. Semasa saya memulakannya pada hujung tahun 1998, ia hanya mengandungi lirik lagu Ziana Zain sahaja. Seperti yang saya nyatakan dalam Sejarah Kelahiran KLLM, senarai nama penyanyi memang banyak tetapi ia adalah 'broken link'. Saya masih ingat lagi pada masa tu terdapat seorang pengunjung yang mengutuk mengatakan saya tak tahu buat laman web. Terpaksalah pendamkan dan terima sebagai cabaran serta menjawab tujuannya untuk belajar. (Kalau dilihat dari sudut positif, ia sesuatu yang cukup menarik kerana KLLM telah dapat dikesan menerusi Search Engine walaupun masih baru).

Kembalinya minat saya kepada muzik melayu yang terhenti seketika semenjak berakhirnya era 'slow rock' juga menjadi sebab ke arah wujudnya KLLM. Di samping itu, peralihan teknologi muzik komputer dari MIDI ke Realaudio dan akhirnya MP3 juga turut menambah minat untuk turut bersama mendalaminya. Di samping itu juga berlaku perubahan dalam grafik komputer daripada BMP dan PCX kepada 'Animated GIF', JPEG, MPEG, Java Applets dan seterusnya Flash & Shockwave. HTTP dan HTML turut sama berkembang. Browser pula telah beberapa kali bertukar versi.

Agaknya, kekurangan laman web lirik dan lain-lain berkaitan dunia muzik melayu telah memberi peluang kepada Koleksi Lirik Lagu Melayu tersebut berkembang pantas di kebanyakan Search Engine. Sehingga sekarang, walaupun akaun di WhoWhere Pages dah lama tutup, kebanyakan Search Engine yang terkenal masih mempunyai indeks dalam 'database' mereka. Dari sudut lain, ia amat merugikan Koleksi Lirik Lagu Melayu sebab saya terpaksa bermula dari bawah setiap kali hendak memperbaiki kedudukan indeks KLLM di Search Engine.

Pada bulan Mei 1999, kira-kira 6 bulan setelah diwujudkan, saya mula mengemaskini Koleksi Lirik Lagu Melayu secara aktif. Dalam tempoh enam bulan sebelum itu, saya mengambil peluang untuk mempelajari teknik-teknik mencipta dan mengendalikan laman web dengan cara melayari laman web yang terkenal dan selalu berada di muka pertama search engine. Pada masa yang sama juga saya telah mengadakan counter dan guestbook menjadikan Koleksi Imnogman dan Koleksi Lirik Lagu Melayu satu laman web yang hampir lengkap. Keseronokan dan keghairahan mengemaskini Koleksi Imnogman turut membawa kepada perubahan wajah Koleksi secara beransur-ansur. Membuat pendaftaran di 'Search Engine' turut menjadi aktiviti terpenting saya sepanjang mengendalikan Koleksi ini.

Dalam Sejarah Kelahiran KLLM, saya ada menyebut tentang RinaMS dan Aliza yang banyak membantu memberi sumbangan pada masa itu. Sebelum terlupa, RinaMS atau Inna Sarienna akan bersanding pada Ahad ini. Selamat Pengantin Baru. Semoga berbahagia selamanya. Budi dan persahabatan akan dikenang sehingga akhir hayat. Maaf, tak dapat hadir sebab ada relatif mengadakan majlis yang serupa pada tarikh tersebut.

Minat yang semakin bertambah dan dorongan yang diberi oleh pengunjung membuatkan saya terus mengembangkan Koleksi Imnogman dengan menambah beberapa Koleksi baru yang dinamakan Koleksi Maya Sastera Melayu. Saya memulakan koleksi puisi yang saya namakan Koleksi Puisi Puisi Maya pada 16 Julai 1999. Tiba-tiba sahaja saya terpaksa mengendalikan dua Koleksi pada masa yang sama. Keputusan untuk mengemaskini seminggu sekali adalah wajar pada masa itu. Dan keputusan itu kekal hingga kini. Kedua-dua Koleksi ini dan koleksi-koleksi lain seterusnya digabungkan di WhowherePages. Akaun di geocities/imnogman kekal menjadi 'mirror site'.

Apabila saya mengujudkan Koleksi Loghat Negeri Sembilan pada 9 September 1999, ia menjadi salah satu dari Koleksi Imnogman yang statik disebabkan masa lapang yang terhad dan tidak mencukupi untuk mengemaskininya. Koleksi-koleksi lain dari Koleksi Maya Sastera Melayu telah diwujudkan pada tahun 2000. Sebahagianya telah lengkap dan ada juga yang masih perlukan sedikit masa untuk disiapkan.

Dan apabila notis penutupan diberi oleh Whowhere Pages, saya menjadi sedikit kelam-kabut. Tak biasa mengalami keadaan seperti ini lagi selama menjadi pengendali Laman Web. Nasib baik saya sempat mempamerkan notis bahawa KLLM akan ditutup dan akan berpindah ke lokasi lain pada 8 Mei 2000.

Setelah beberapa lama berfikir, saya telah memilih xoom.com sebagai lokasi baru untuk Koleksi Lirik Lagu Melayu pada bulan Jun 2000. Pemilihan xoom.com hanyalah kerana FarahAqil dan Hamlau telah mempunyai laman web yang 'established' di situ. Keburukan di xoom.com ialah saiz paparan laman web menjadi kecil disebabkan terdapat frame iklan xoom.com. Kebaikannya pula ialah saya dapat menggunakan utiliti FTP untuk mengemaskini Koleksi Lirik Lagu Melayu dengan lebih pantas.

Untuk memudahkan lagi pengendalian, saya telah mengasingkan Koleksi Maya Sastera Melayu (yang mengandungi Koleksi Puisi, LoghatNS dll) ke geocities/imnogman. Akaun di angelfire/ns/imnogman diwujudkan untuk menjadi 'mirror site' kepada Koleksi ini. Tetapi seperti yang saya sebutkan terdahulu, ia tak berapa 'cantik'. Saya namakannya sebagai 'Koleksi Imnogman Webring' sebab masa tu saya telahpun mempunyai Webring dan egroup sendiri. Anda digalakkan menyertai egroup ini.

Saya telah berusaha untuk memperbaiki semula ranking dalam search engine bagi lokasi baru ini. Bertambah malang lagi, tak lama lepas tu, xoom.com pula diambilalih oleh NBCi dan terus bertukar nama kepada nbci.com. Sekali lagi saya kena berusaha untuk membuat pendaftaran di Search Engine.

Untuk menyelamatkan keadaan daripada berterusan dan untuk memastikan bahawa perubahan lokasi tidak akan memberi kesan yang banyak kepada indeks dalam Search Engine, saya telah 'membeli' domain imnogman.com dan menempatkannya di yahoo.domain pada awal tahun 2001. imnogman.com saya 'link'kan ke Koleksi Maya Sastera Melayu di http://www.geocities.com/imnogman/.

Entah macamana, tanpa saya sedari, nbci.com telah memberi notis yang ia akan ditutup tidak lama lagi. Saya tak sedar sebab semua 'bulk & unsolicited email' akan saya padam terus tanpa baca. Saya hanya sedar setelah tarikh terakhir untuk kemaskini telah berlalu beberapa hari. Jadi tak sempatlah saya meletakkan notis yang Koleksi Lirik Lagu Melayu akan berpindah sekali lagi ke tempat lain. Dengan rasa hampa, saya terpaksa berhadapan dengan masalah ranking dalam Search Engine sekali lagi. Sebab utama ialah saya tidak sempat meletak notis seperti semasa perpindahan/penutupan dari WhowherePages ke xoom.com dan perubahan nama dari xoom.com kepada nbci.com dulu. Jadi, tiada cara lain selain dari menerangkan kepada pengunjung yang bertanya melalui email sahaja di samping berusaha membuat pendaftaran baru.

Tindakan meletak Koleksi Maya Sastera Melayu di lokasi lain di geocities/imnogman dan pembelian imnogman.com dapat mengurangkan sedikit kesan penutupan akaun nbci.com ini. Begitu juga dengan pendaftaran di come.to/imnogman, come.to/liriklagu, imnogman.cjb.net dan imnogman.isonfire.com dan turut membantu menyelamatkan keadaan walaupun ramai yang tertanya-tanya kehilangan Koleksi Lirik Lagu Melayu secara tiba-tiba.

Sedikit-sebanyak saya dapat bergantung kepada Egroup dan Webring yang saya ujudkan pada tahun 2000. Tapi tak begitu ketara kesannya kerana Egroup saya hanya mempunyai ahli yang kurang dari 100 pada masa tu.

Akhirnya saya membuat keputusan untuk membuka akaun baru di geocities/liriklagumelayu pada hujung bulan Julai 2001. Dalam masa beberapa hari sahaja, Koleksi Lirik Lagu Melayu telah berjaya dihidupkan semula di sini. Namun begitu, tak sampai sebulan, Geocities telah mengenakan peraturan 'bandwidth' tidak boleh melebihi 3 Gigabait sebulan. Disebabkan Koleksi Lirik Lagu Melayu telah mempunyai gambar dan MIDI, masalah ini menjadi semakin ketara. Koleksi Lirik Lagu Melayu menjadi 'sekejap ada dan sekejap tak ada' selama beberapa minggu.

Sekali lagi saya terpaksa mencari lokasi baru yang sesuai untuk KLLM. Saya cuba pindahkan ke akaun saya di Tripod, tetapi tempoh mengemaskini dan FTP terlalu lama. Baru separuh jalan, saya pun 'give-up'. Kalau tengok 'mirror site' di Tripod tentu anda akan dapati ia tidak lengkap (Buat masa ni janganlah pergi ke sana). Akaun di Angelfire pula masih lagi menghadapi masalah 'lain yang dibuat lain pulak yang keluar' pada browser. Tak sesuai untuk Koleksi Lirik Lagu Melayu ini.

Saya terus mencuba beberapa lokasi lain, pun tak jumpa yang sesuai. Atau kalau ada pun mengenakan syarat yang ketat atau mengenakan bayaran.

Nampaknya saya tak mempunyai pilihan, lalu dengan 'tak rela dan berat hati' menerima tawaran website berbayar di Geocities dengan satu domain percuma pada bulan September 2001. Setelah semak dan membuat pilihan nama domain, saya dapati liriklagu.com tiada pemiliknya atau mungkin pemilik terdahulu telah habis tempoh. Dengan berat hati saya telah mendaftarkan akaun http://www.geocities.com/imnogman/ kepada akaun berbayar geocities.com dengan nama domain keduanya http://www.liriklagu.com/. Saya pun terus mengeluarkan kenyataan 'Sirih Pulang Ke Gagang'. Saya juga telah mengambil keputusan untuk menggabungkan Koleksi Lirik Lagu Melayu dan Koleksi Maya Sastera Melayu di tempat yang sama. Ruang untuk Koleksi Imnogman telah bertambah dari 15 Megabait kepada 50 Megabait. Bandwidth juga turut bertambah dari 3 Gigabait kepada 20 Gigabait. Wang yang terpaksa dikeluarkan untuk menampung kos turut bertambah.

Akaun di http://www.geocities.com/liriklagumelayu/ saya tinggalkan sementara. Namun akhirnya ia menjadi koleksi baru yang dinamakan Mingguan Koleksi Imnogman pada bulan Oktober 2001.

Rupa-rupanya masalah tidak berakhir di situ. Selama hampir tiga bulan Koleksi Lirik Lagu Melayu dan Koleksi Maya Sastera Melayu di geocities/imnogman atau liriklagu.com telah tidak dapat dikemaskini. Cerita yang panjang lebar mengenai masalah ini telah saya jelaskan pada masa tersebut dalam Mingguan Koleksi Imnogman. Saya telah letak Mingguan Koleksi Imnogman sebagai 'mirror site' di geocities/liriklagumelayu. Mingguan Koleksi yang lengkap terletak di geocities/imnogman atau atau liriklagu.com.

Semasa tempoh sukar tersebut juga saya telah berusaha membuat pendaftaran baru di Search Engine. Walaupun sedikit tetapi cukuplah untuk pengunjung dapat mencari di mana letaknya Koleksi Imnogman. Egroup LirikLagu dan Mingguan Koleksi Imnogman adalah pilihan bagi anda supaya sentiasa dapat mengikuti perkembangan yang berlaku dalam Koleksi Imnogman.

Pada 11 Januari 2002, Koleksi Imnogman telah kembali pulih secara keseluruhannya. 'Ranking' di cari.com.my telah kembali kepada kedudukan asal. Di Search Engine yang lain nampaknya masih banyak yang menggunakan indeks samada xoom.com atau nbci.com atau WhowherePages atau Angelfire. Sekarang ini Koleksi Imnogman di xoom.com, nbci.com dan WhowherePages semuanya dah tutup. Eloklah anda semua ke geocities/imnogman atau imnogman.com atau liriklagu.com sahaja. Jika terjadi apa-apa pada Koleksi Imnogman, jangan lupa ke tripod/imnogman atau angelfire/ns/imnogman atau geocities/liriklagumelayu untuk mengetahui apa yang berlaku. Dan jangan lupa tentang URL 'V3 Redirection' saya seperti come.to/imnogman, come.to/liriklagu, imnogman.cjb.net, imnogman.isonfire.com dan imnogman.uni.cc.

Sekarang ini saya sedang sibuk membuat pendaftaran baru di Search Engine untuk memperbaiki ranking atau memperbetulkan indeks yang masih link ke lokasi lama yang dah tutup. Saya dah pun daftar di Mesra.net. Saya cuba di bluehyppo.com tapi nampaknya 'site' tu mempunyai indeks database search engine yang tidak dikemaskini. Saya cuba buat pendaftaran baru, tapi ia pergi ke cari.com.my. Nampaknya bluehyppo.com tu adalah tmnet.cari.com.my yang merupakan 'out of date version' cari.com.my. Lepas ni saya nak ke Google.com dan sebagainya. Kemudian tu nanti barulah saya nak kembali ke Addme.com dan kemaskini semula semuanya. Pendaftaran di LinksToYou.com telah membuatkan indeks Koleksi Imnogman berada di serata pelusuk dunia. Cubalah daftar di sana. Kalau tak percaya cuba search 'imnogman' di mana-mana 'Search Engine' dan 'browse' dari muka surat terakhir 'search result'.

Saya harap para pengendali Laman Web atau webmaster yang baru nak mencuba dapat berkongsi pengalaman saya selama ini. Taklah sukar sangat selagi kita sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dalam apa saja bidang diceburi. Dan tak semudah 1 2 3 sebab takkan ada benda yang datang bergolek.

*** *** *** *** *** *** *** *** ***

Mingguan Koleksi Imnogman - 13 Mei 2002

Mei 2002 - Akhirnya Laman Web Koleksi Lirik Lagu Melayu mendapat pengiktirafan sebenar dari pengunjung-pengunjung apabila ia telah berjaya menerima anugerah "Top 5 of CARI - May 2002 awards" dalam kategori 'Arts & Entertainment'. Kategori ini, selain dari kategori 'Personal Homepage', merupakan salah satu kategori yang sukar disebabkan bilangan laman web berkaitan yang terlalu banyak. Pada masa yang sama KLLM terpaksa bersaing dengan Laman 3R yang merupakan salah satu rancangan berbentuk Majalah TV di Astro yang mana telah memperolehi undi terbanyak. KLLM berada di tempat ketiga.

Dalam tempoh pemilihan tersebut saya sendiri telah menjadi salah seorang 'judge' bagi kategori 'Computer & Internet'.

Sebenarnya keputusan tersebut walaupun telah dihantar melalui email pada 2 Mei 2002, tetapi saya baru menerima/membacanya pada pagi 6 Mei 2002 disebabkan kesibukan tugas yang luarbiasa pada minggu tersebut. Ahli egroup LirikLagu telah dimaklumkan pada hari itu juga. Indeks Koleksi Lirik Lagu juga turut dikemaskini pada hari yang sama.

Nampaknya andaian saya bahawa KLLM sukar menerima anugerah adalah meleset. Ini menunjukkan bahawa pengunjung dan pelayar internet bukan sahaja memilih berdasarkan teknologi dan rekabentuk tetapi juga berdasarkan isi kandungan. After all, HTML is still very much alive.

Terimakasih kepada anda semua yang telah memilih KLLM untuk menerima award tersebut pada kali ini.

Berikut adalah email dari Team@cari.com.my untuk makluman anda yang tidak menyertai egroup LirikLagu.

WINNER of the "Top 5 of CARI - May 2002 awards"

From: Team@cari.com.my
To: imnogman@yahoo.com
Subject: You are the Best web sites in Malaysia!
Date: 3 May 2002 06:18:56 -0000

Dear imnogman,

Congratulation!! You are the WINNER of the "Top 5 of CARI - May 2002 awards". There are the totals of 138 sites run for the awards, and only 36 sites (26%) actually awarded. Your site is one of them!

  • Title: [liriklagu.com] Koleksi Lirik Lagu Melayu IMNOGMAN
  • URL: http://www.geocities.com/imnogman
  • Category: Arts and Entertainment/Music

    Again, this award is NOT based on a personal preference of few person. Not based on a company selection, or selected by CARI alone. This award is based on the selection of our judges around the world who are randomly invited by CARI as the judges. The totals of 651 judges around the world had voted for this award.

    You can claim your "Top 5 of CARI - May 2002 Awards" logo by putting the following simple HTML code into your page to indicate you are one of The BEST WEB SITE in Malaysia!

    Winner of the Top 5 of CARI - May 2002 Awards

    Or you can download the logo into your site and save it locally.

    When you visit CARI, find out how you win, who are the judges, and the number of votes you get from the judges, from this page. Again, congratulation! Your site has proven to be the BEST OF THE BEST web site in Malaysia! Good job!!

    Best regards,
    Team of CARI.


  • Halaman Utama

    Copyright © 2000,2002,2003 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)