Sejambak Syair Alif Mokhter

Tiga Zaman Dah Ku Rempuh

Selamat tinggal alam remaja
Kini ke alam berumahtangga
Dulu seorang kini berdua
Bergerak melangkah menempuh suasana

Dalam berkeluarga aku kini
Dapat anak silih berganti
Empat perempuan lima lelaki
Semua sudah tamat mengaji

Sembilan kali berkenduri dirumah ku
Kenduri kahwin semua anak ku
Banyak hendaknya mendapat cucu
Gembiranya hatiku ketika itu

Orang kata aku dah senang
Badan gemuk perut jo godang
Kurang kerja banyak bersembang
Ada kalanya santak ke petang

Itu cuma tuduhan melulu
Setelah subuh ke kebun dulu
Menuris meracun yang amat perlu
Semuanya itu mereka tak tahu

Badan ku kini tak mahu berehat
Sebagaimana usaha yang aku dapat
Akan kebun bersihnya ku buat
Menulis menaip di malam pekat

Tiga zaman dah ku tempuh
Empat pemerintah aku dah rempuh
Dalam usia dah hampir tujuh puluh
Semangat bekerja tetap teguh

7 Oktober 1989

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)