Sejambak Syair Alif Mokhter

Adam Penghulu Dunia

Tuhan berjanji tidak mungkir
Akan Islam maupun kafir
Melakukan sesuatu dulukan berfikir
Mengelakkan diri terlanggar takdir

Adam dan Hawa kini merempat
Seorang di timur seorang di barat
Tak ada yang tahu apa nak buat
Memeram rasa dari akibat

Riangnya iblis bertepuk ria
Tipu helahnya telah mengena
Adam dan Hawa sentiasa berduka
Keinginannya bertemu mengatasi segala

Tuhan bersegera pula berfirman
Segala nama pula diajarkan
Memudahkan Adam membuat pedoman
Bertemulah kedua melaui pengorbanan

Kiranya gitu kerjanya Iblis
Siang malam menggoda memulas
Usah berlengah bertindak balas
Dengan beribadat tidak pula malas

Adam dan Hawa amat menyesali
Dek Iblis dirinya dirosaki
Kepada Allah keduanya mengabdi
Memohon dosanya segera diampuni

Allah sentiasa mendengar melihat
Sedia mengampuni sesiapa yang bertaubat
Bila-bila saja kiranya beringat
Hidup matinya tetap kan selamat

Iblis laknat dikutuk Tuhan
Ia berjanji menyesatkan insan
Dari syurga, di dunia dan akhir zaman
Karamlah manusia kiranya tak ada pegangan

Quran dan hadis saja pelindungnya
Perlulah kita sentiasa mempelajarinya
Di samping beramal isi kandungannya
Taklah sesat berpegang dengannya

Tuhan dah berjanji dengan berfirman
Mereka yang sesat ke neraka dicampakkan
Azab di dalamnya tidak terperikan
Kekal di dalamnya tanpa kesudahan

Fakir mengajak tuan dan puan
Dunia Akhirat dilupa jangan
Meningkatkan diri dengan pengabdian
Kepada Allah sentiasa berdampingan

Dunia ini jambatan ke Akhirat
Sebelum meniti amalan dipergiat
Di malam hari berdirilah bersolat
Bersyukur bertafakur mengucap selawat

Apa susahnya beramal beribadat
Segala suruhan mesti dibuat
Akan larangan usah didekat
Diajar segalanya di mashaf tersurat

14 Oktober 1989

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)