Gugusan Syair Alif Mokhter

Tulislah Seindah Mungkin

Keperluan seni amatlah banyak
Keindahannya pula mestilah nampak
Ke mana pergi bila dibawak
Disukai ramai ia tak tercampak

Tatkala menulis memerlukan ilham
Buang juga syak dan waham
Segala yang tergambar mestilah difaham
Seelok-eloknya menulis di tengah malam

Masa yang baik mestilah ada
Hati yang tenang turut serta
Berfikir menerawang di tempat selesa
Keindahannya jelas setelah tercipta

Apalagi menulis pantun
Syair, seloka, gurindam, talibun
Kepada peminatnya untuk ditonton
Pastilah penciptanya pakar menyusun

Kalau tidak akan dicanggah
Adanya ketempangan di sana mencelah
Seperti di warung pelanggan menempah
Sebaik mungkin mesti diolah

Ada peminat melihat penciptanya
Ada yang menilai buah usahanya
Masyur tidaknya mereka kira
Dalam pameran mereka menentukannya

Ada penciptanya dah lama tumpas
Hasil seninya masih lagi panas
Banyak ciptaan terbiar jelas
Akan hal penciptanya masih bernafas

Batang buruk kan dimakan asai
Terasnya ada takkan bangsai
Kalau tidak habis langsai
Demikian seni bila dinilai

Demikian aku menulis mengubah
Syair didendangkan mencapai hadiah
Kat orang banyak saja terserah
Ada yang menang ada yang kalah

Oh Tuhan yang maha kaya
Kurniakan daku kemewahan di dunia
Taufik Hidayah Mu kurniakan jua
Memudahkan daku membuat pahala

Oh Tuhan Rabbul Izzati
Anugerahi daku hikmah sejati
Untuk memandu aku membuat bakti
Terutama bekal ke Akhirat nanti

Sekian dulu secebis madah
Kan berusaha lagi Insyaallah
Bila bertemu khilaf dan salah
Ampun, maaf pada ku berikanlah

Selasa 2.00 petang - 28 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)