Gugusan Syair Alif Mokhter

Sheikh Abdul Kadir Al Jailani

Sebuah cerita di zaman dahulu
Di negeri Parsi telah berlaku
Seorang pemuda alim terlalu
Amatlah warak ketika itu

Dia teringin terus berjalan
Pergi merantau menambah pengetahuan
Setelah jauh menempuh laluan
Letih dan dahaganya menyesak badan

Segera berbaring di tepi sungai
Dilindungi bayang pokok berjuntai
Dalam lenanya mimpi melambai
Usah di situ ditipu lalai

Terjagalah dia dari lenanya
Terfikir di hati sekarang di mana
Di kampung di dusun atau di kota
Kemudian teringat akan musafirnya

Kini perutnya lapar mengilai
Bekal bawanya dah semuanya langsai
Ternampak buah menghilir sungai
Sedaya-upayanya untuk dicapai

Buah di tangan terus dimakan
Teringat dosa di hari kemudian
Buah dimakan tidak dihabiskan
Malah di mulut habis diluahkan

Tegal haram menjadi daging
Di hari Akhirat kan dicaing-caing
Ke dalam neraka kemudian dibanting
Perasaannya kini dilanda runsing

Segeralah berjalan mudik ke hulu
Buah yang ngilir hendak ditentu
Orang yang berhak agar bertemu
Keizinan pemilik amat perlu

Lama jua si musafir berjalan
Meredah padang wadi dan hutan
Akhirnya bertemulah sebuah perkebunan
Mencari tuannya pula menyusahkan

Abu Salleh dipanggil orang
Nama pemuda yang melarat sekarang
Kini berjalan di dalam ladang
Menyisir sungai memandang-mandang

Ternampak olehnya pokok berbuah
Banyak yang masak jatuh ke tanah
Ke dalam sungai pun bersepah-sepah
Percayalah hatinya buah yang tadinya dikunyah

Tinggal lagi yang jadi persoalan
Pokok berbuah dah tentu bertuan
Diharap Tuhan segeralah pertemukan
Pemilik kebun dapat mengizinkan

Sekarang mahu menebus diri
Dari dosa menyesakkan hati
Oh Tuhan Yang Maha Mengasihi
Hambamu amat berduka kini

Dalam berkelana si pemuda itu
Muncullah pemilik kebun di situ
Legalah hati yang amat pilu
Salleh mendekati tanpa malu-malu

Dia adalah seorang tua
Abdullah Suhaimi disebut namanya
Memiliki ladang amat suburnya
Musim memetik dah sampai jangkanya

Demikian buah di tepi sunagi
Gugur ke air banyak dah bangsai
Abu Salleh di sana tikai-bertikai
Dengan Abdullah hendak berselesai

Abdullah Suhaimi membuat keputusan
Abu Salleh kiranya boleh mempersetujukan
12 tahun di ladang kerja dilakukan
Setamat itu dapatlah keizinan

Agar dosanya akan luput
Di Akhirat pula tak bersangkut-paut
Bersetujulah Salleh bagaimana dituntut
Patuh dan taat perintah diikut

Pagi petang Salleh bekerja
Hari ke minggu bulan menerpa
Tahun ke tahun semuanya sempurna
Peduli apa orang lain kata

Dalam berusaha tak tinggal ibadat
Terhadap Tuhan sentiasa bermunajat
Agar diri yang kini tertambat
Terlucut segera tali pengikat

12 tahun genaplah sudah
Bekerja buat bertuankan Abdullah
Keizinan dipinta agar diserah
Tetapi Abdullah membuat helah

Abdullah percaya pemuda ini
Seorang warak berhati murni
Tegal sebuah sanggup mengabdi
Orang begini payah dicari

Gadis anakku seorang saja
Pantas Salleh menjadi suaminya
Kepada Salleh diletak syaratnya
Agar keizinan ku padanya terlaksana

Kepada Abu Salleh diberitahu
Anaknya cacat buta kayu
Tak tahu bercakap kononnya bisu
Telinga pekak berjalan kaku

Kalau Abu Salleh sanggup kahwin
Gadisku ini jatuhlah izin
Bebaslah dikau kat tali berpilin
Kekal di sini atau pergi ke lain

Abu Salleh berfikir lagi
Kat gadis cacat untuk dinikahi
Atau tinggalkan saja negeri ini
Menuju neraka yang ditakuti

Terlibat dosa nak juga dielak
Gadis cacat adakah layak
Abu salleh dadanya sebak
Berasa dirinya ditimpa balak

Mahu tak mahu diputuskan fikiran
Gadis cacat sanggup dikahwinkan
Keputusan itu kemudian dicanangkan
Ke hulu ke hilir kampung dan pekan

Tibalah masa hari yang baik
Persetujuan Abu salleh akan dikelek
Diijab kabulkan ditengah olek
Dalam debaran mencolek-colek

Malam pertama Abu Salleh masuk
Ke dalam bilik isterinya terperuk
Diberinya salam penuh kusyuk
Salam berjawab fikiran pun mabuk

Abu Salleh segera beredar
Salam berjawab tak isterinya sebenar
Orang bisu takkan mendengar
Sangkaannya kini macam-macam keluar

Ke mana nak pergi pula sekarang
Sangkaannya dia ditipu orang
Banyak fikiran datang menyerang
Tambah diri berbeban hutang

Di sudut serambi ia tertidur
Abdullah Suhaimi terdengar dengkur
Dilihat menantunya di sana terbujur
Hingga pagi barulah ditegur

Wahai menantu ku mengapa begitu
Tidak masuk ke bilik beradu
Abu Salleh menjawab tersipu
Konon biliknya ada hantu

Wahai menantu ku aku dah berbohong
Sebenarnya isteri kau salehah agung
Tak terlajak selama terkurung
Ke lembah noda tak pula terdorong

Matanya buta tak melihat maksiat
Telinganya tuli tak mendengar khurafat
Kakinya lumpuh tak mendekati musibat
Kekal 'kat bilik beramat ibadat

Demikian Abu Salleh dah punya isteri
Sayang menyayangi hari ke hari
Dikurniakan anak seorang lelaki
Terkenal dengan Sheikh Abdul Kadir Jailani

Isteri adalah laksana payung
Suami isteri tolong menolong
Hidup demikian amat beruntung
Dicontohi orang seluruh kampung

Dunia Islam menyanjung tinggi
Abdul Kadir seorang amat dihormati
Timur dan barat dia dikenali
Ke mana pergi dia disegani

Tersebut kisah salehah yang cantik
Malam pertama mempelai kat bilik
Dengan debaran kasih mencolek
Diselangi fikiran pelbagai mengusik

Ke jauh malam masih menunggu
Masuknya suami ke bilik beradu
Bertegur sapa kasih dipadu
Salam ku jawab setelah diseru

Hingga pagi tak kunjung lena
Suami yang tadi entah ke mana
Tubuh gementar bercampur duka
Kasih dan rindu turut serta

Putri salehah pernah berkata
Kepada suaminya memadu asmara
Semasa gadisnya tak pernah bersua
Lelaki lain selain kekanda

Baru setelah diijab kabulkan
Terdengarlah salam suara mu tuan
Salam ku jawab amat menyenangkan
Resah gelisah pula mengiringkan

Hati ini kepalanglah rindu
Melihat kanda sepintas lalu
Menyesali bapak berbohong pada mu
Demikian kekanda menyangka ku hantu

Gelisa nian hati ku ini
Kekanda pergi adinda menanti
Airmata bercucuran tak renti-renti
Berbagai godaan telah mendatangi

Tidaklah kecewa wahai tuan
Kekanda berada di dalam dewan
Ayahanda bonda turut menyayangkan
Kekanda, adinda berkasih-kasihan

Daratan yang luas bersama diredah
Menjalani hidup senang dan susah
Mendaki menurun terus melangkah
Kepada Allah kita berserah

Wahai dinda ku jelitawan salehah
Bersyukur kita menerima anugerah
Bersama bersabar didatangi susah
Tuhan diingat kekal disembah

Kiranya pulau di sana diperlukan
Berdua pasti menyeberangi lautan
Membina bahtera bersama kerjakan
Berdayung bergalah usah direntikan

Dalam hidup mesti berjuang
Di sana banyak rintang dan galang
Dalam hati cekal dan garang
Setiap cabaran perlu ditentang

Apakah kepayahan yang ditakuti
Tak kesungguhan yang tak ada bukti
Apakah menang aja yang diingini
Kekalahan awal mengingati diri

Jumaat 4.10 petang - 15 Mei 1992
Sabtu 9.10 pagi - 16 Mei 1992
Sabtu 4.30 ppetang - 16 Mei 1992
Ahad 11.40 pagi - 17 Mei 1992


Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)