Gugusan Syair Alif Mokhter

Sembahyang Jumaat

Pergi masjid berduyun-duyun
Untuk menegakkan syafaat dan rukun
Bila sekali kewajiban tertimbun
Payahlah koyak mahu ditampun

Empat puluh jemaah mesti ada
Menunai solat kewajiban bersama
Bila seorang kurang darinya
Sebuah kampung menanggung dosa

Hanya sekali dalam seminggu
Sebarang tugas tinggalkan dulu
Terutama setelah masuk waktu
Beradalah di masjid bahu-membahu

Sembahyang jumaat satu kewajiban
Hanya lelaki tidak perempuan
Patuhi ini perintah Tuhan
Berdosa besar bila ditinggalkan

Syarat lelaki sempurna akal
Cukup umur tahu beramal
Tegal bodoh apalagi bebal
Usahlah ke masjid tunggu aja bangsal

Tidak ada suruh kat si kafir
Ke dalam masjid ditegah hadir
Mereka di dunia hidupnya membazir
Di Akhirat nanti ke neraka diusir

Bekal yang baik bawalah pulang
Di alam barzakh terbaring seorang
Berjemaah di masjid yang paling jumbang
Melepasi soal Mungkar Nakir berulang

Sebanyak mana ahli jumaah
Di dalam masjid Tuhan disembah
Ke alam Akhirat bersama melangkah
Menjadi saksi menerima faedah

Faedah diterima bukan sembarangan
Di dalam dunia tak ada nilaian
Sebagaimana janji Tuhan berikan
Berbahagianya di Akhirat di sana berkekalan

Beramal di dunia usahlah lalai
Sebelum ajal kita kan sampai
Amalan di dunia akan dinilai
Walau sebesar rambut sehelai

Jauhi melakukan amal yang jahat
Hidup penuh dilingkungi maksiat
Di dunia lagi hidup melarat
Tiba di Akhirat kekal terjerat

Syair ini satu-satunya panduan
Kepada jiran, handai dan taulan
Agar sekarang mengumpul bekalan
Buat Akhirat supaya aman

Sebagai rang tua inilah saja
Terus berleter walau di mana
Mungkin berfaedah kepada kita
Mana tak berguna buangkan saja

Jumaat 4.00 petang - 8 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)