Gugusan Syair Alif Mokhter

Pilihan Sendiri

Waktu itu laksana duit
Lambat sedikit menghampiri penyakit
Apalagi tak mahu bergarit
Pasti kehidupan di sana tersepit

Ada pula pendapat orang
Waktu itu laksana pedang
Lambat kita memancung memarang
Leher dipancungnya hingga tumbang

Semua orang dalam kerugian
Masa itu membuat jaminan
Ada peluang tak dimasukkan
Orang kan masuk di mana kekosongan

Tidak sepert air terjerang
Sejukkan dulu baru dipegang
Jauh bezanya orang berperang
Lewat sedikit nyawa melayang

Apa guna lagi lagi bertanya
Semasa hidup apakah kerja
Masa terbuang duduk kat mana
Kenapa berlengah dek bersuka-ria

Sebagai seorang yang teguh iman
Lebih berusaha supaya aman
Dunia Akhirat sekali jalan
Kalau tidak dalam kerugian

Hidup di dunia amatlah singkat
Masa yang panjang di Alam Akhirat
Amalan di dunia adalah penyukat
Bekal Akhirat baik dan jahat

Amalan yang baik perlulah dibuat
Banyak amalan di Akhirat selamat
Amalan jahat membanyakkan maksiat
Banyak maksiat di Akhirat terjerat

Orang yang selamat mendapat syurga
Pada yang tertambat tempatnya neraka
Pilihan itu sendiri melakukannya
Tatkala di dunia tempat mengamalkannya

Di dalam dunia ada perosak
Terutama yang lalai dan dielak (tarik)
Mudah jalannya masuk jebak
Jebak iblis yang sentiasa terbukak

Pengaruh iblis dilihat cantik
Teruna dara kat sana menarik
Bila terpengaruh nak keluar serik
Kecuali kesedaran datang membisik

Al Quran sendiri jelas mengatakan
Iblis itu dilaknat Tuhan
Iblis berjanji memujuk insan
Ke dalam noda akan dihanyutkan

Cuma iblis mengaku kalah
Kat orang yang mendampingi Allah
Melakukan kebaikan tidak berubah
Cepat taubat terlanjur bersalah

Iblis berjuang tak ada luang
Terlalai sedikit dia dah datang
Berbagai cara dipujuknya orang
Dihulurnya putih rupanya arang

Ada tempatnya disuruhnya berbakti
Tegal sedikit menyombonglah diri
Disangka air rupanya api
Tegaklah usaha dilingkungi asi

Bila berjalan tidak bersuluh
Tentu tersesat di tengah lebuh
Panduan diberi tidak diacuh
Petunjuk ada memegangnya tak teguh

Adik, kakak mahulah diinsafi
Sekalipun perit di dunia ini
Sentiasalah bersabar apa yang didapati
Mungkin disitulah kita teruji

Tuhan berjanji kat rang sabar
Dia berserta, kita berikhtiar
Mungkin bersua jalan keluar
Atau derita akan bertukar

Bukan sedikit orang menerima
Nikmat Tuhan tak semena-mena
Bersyukur hendaknya telah berjaya
Mungkin tambahannya berganda-ganda

Syukur dan sabar kat orang beriman
Selamat mereka dalam perjalanan
Bila sedikit mereka padakan
Ada banyak tak pula dimegahkan

Segala apa yang kita terima
Itu bukannya pemberian percuma
Anugerah Tuhan kepada hambaNya
Untuk digunakan pada tempatnya

Apalagi dah tergulung kaya
Segala kehendak lulus sadanya
Fakir miskin usah pula dihina
Yatim piatu berikan haknya

Kiranya mereka kamu abaikan
Tuhan murka Nabi pun demikian
Dalam Akhirat terimalah ganjaran
Celaka tempatnya dah pun disediakan

Akan Tuhan Yang Maha Gagah
Marilah bersama kita menyembah
Kaya dan miskin usahlah berlengah
Berlengah ertinya ugama nak musnah

Sekian dulu fakir tuliskan
Insyaallah nanti dibuat sambungan
Sedikit nasihat untuk panduan
Semasa hidup mungkin diperlukan

Selasa 10.00 malam - 28 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)