Gugusan Syair Alif Mokhter

Perubatan Tradisi

Kak Ngah Esah aku panggil dia
Datang kemari tak semena-mena
Di Gunung Pasir kampungnya lama
Kemudian mengurut kaki hamba

Kaki ini tak ku beri urut
Dia dah urut tak jua surut
Kononnya penyakit lain pula memaut
Ubat keteguran patutnya dibarut

Aku berubatlah kini dipantangkan
72 jam mandi tidak dibolehkan
Sayuran jua tak boleh dimakan
15 waktu solat kan ditinggalkan

Aku pun ikut yang dukun tegah
Hingga menulis ini peluh mencurah
Duduk dan tegak semuanya resah
Tiga hari berpantang sentiasa gelabah

Perasaan aku amatlah perit
Berubat kampung di kala perit
Pantangnya diikat ubatnya dipalit
Zaman-berzaman moyang dah kepit

Banyak sekarang orang membantah
Bercampur haram ugama pun menegah
Tapi, pelanggan dukun kian bertambah
Di kota dan desa penggunanya bercambah

Di mana orang tak meyakini
Terutama menggunakan tawar dan jampi
Demikian menjengkal menabur padi
Untuk mengetahui penyakit yang dihidapi

Aku dah banyak mengumpul ubat-ubat
Dari daun, kulit, akar dan urat
Tegal serasi kat penyakit yang tenat
Sekali nak menggunanya insyaallah sihat

Kak Ngah pun ada menuntut
Ilmu perubatan ramuan dicabut
Disembur, dimakan, dialin, diurut
Kat serasi jugalah penyakit kan surut

Sedikit-sedikit ku ketahui ilmu perubatan
Homopati, pawang dan kedoktoran
Antara kini aku gunakan
Sembuhnya semua di tangan Tuhan

Cuma kita perlu beringat
Usah ditegah orang berubat
Lama dan baru ikhtiar menyelamat
Tidak betahnya ubatnya belum dapat

Lama dan baru ada yang elok
Tidak kurang pula yang buruk
Ikut saja mana yang cucuk
Cuma yang patah dah terlampau lapuk

Dalam berubat jangan dilupakan
Syafaat Nabi dan lindungan Tuhan
Sihat dan sakit dah disediakan
Syukur dan sabar genggaman insan

Rabu 5.50 petang - 6 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)