Gugusan Syair Alif Mokhter

Pertemuan

Genap sudah sepuluh hari
Duduk di rumah menyepi diri
Penat menulis baring di kerusi
Terasa panas pergi mandi

Banyak tulisan hasil mencipta
Syair, pantun, prosa pun ada
Hanya semalam banyak bercerita
Dengan adikku dari Singapura

Dia bermalam semalam lalu
Dua beranak adikku itu
Tibanya bersebab nak memberi tahu
Dua minggu lagi menerima menantu

Di malam berlangsungnya ada kerja
Membaca Yasin dikehendaki bersama
Suaminya ke Mekah pergi berdua
Dengan K suami HW

Insya Allah dibuat pengakuan
Diizinkan Tuhan sihatnya badan
Dia kembali selepas makan
Riang terbayang kami sekelian

Ciptaan aku sekarang ini
Berjalan lancar menjelang pagi
Suasana alam nyaman sekali
Badan ku segar anugerah Illahi

Banyak kehendak dah aku karang
Buat hari ini hingga ke petang
Kalau perlu nak masuk ladang
Terutama ke pejabat bertanyakan wang

Wang kok ada nak diambil
Boleh membayar pelbagai bil
Wang yang ada sudahlah cupil (???)
Tegal wang langkah stabil

Mungkin kehendak boleh terbantut
Kini ke jamban dah berturut-turut
Bukan tegal sakit perut
Pencahar dimakan dah jalan kot

Maknya pula dengan sengaja
Pagi-pagi lagi ke L Muda
Mahu ke klinik sebab angkara
Giginya sakit kan dicabut pula

Menunggu masa dengan menulis
Pena berjalan baris ke baris
Hingga kini semuka habis
Berbentuk syair kata berlapis

Demikian teringat kisah semalam
Sebuah kereta berhenti tersembam
Di pandu Hwi orangnya pendiam
Berbual denganku hampir ke malam

Bila aku dengan Hwi
Serta pula diselang seli
N dia punya isteri
Damoh, hiruk rumah ku ini

Banyak perkara dah diperkatakan
Ekonomi negara ada dibahaskan
Politik sosial sama diketengahkan
Yang penting diri nak diselamatkan

Menggerakkan diri ceritanya berkembang
Terutama buat masa kan datang
Seboleh-bolehnya tak dihina orang
Apa lagi kok umur panjang

Wang di tangan cepatlah dilabur
Membeli tanah rumah pun disyor
Tahun ke tahun nilainya tak luntur
Kemewahan yang lain biar di kendur

Kini aku dan Mak Ngah dah tua
Semangat nak maju masih ada
Malangnya badan dah kurang tenaga
Diharapkan engkau maju ke muka

Semalam anak buahku dari Singapura
Di sebuah bank dia bekerja
Aku cuba merisik-risiknya
Agar pinjaman diharapkan jaminannya

Dia bekerja di firma kewangan
Banyak padaku diberikan huraian
Boleh meminjam mampu menjelaskan
Bayaranya tinggi di setiap bulan

Terutama peminjamnya dah tua
Bayaran kembali tentu berganda
Kecuali dia orang muda pelanggannya
Mudah berunding mudah meluluskannya

Mahu meminjam seratus ribu
Lima puluh lima tahun umur Pak Ngah dah lalu
Lima tahun jelas hutang sebanyak itu
Dua ribu lima ratus sebulan perlu

Kalau mampu OK Pak Ngah sayang
Bila-bila masa sajalah datang
Mengisi borang dan penjamin seorang
Kini fikiranku melayang-layang

Demikian Hwi punya cakap
Kiranya ada wang boleh serkap
Sepuluh ekar seratus ribu tetap
Datang berkira mendapatkan tekap

Menungan aku jauh sekali
Tegal 66 umur ku kini
Rancangan banyak nak dimasuki
Banyak anakku tak pula memberi

Sekalipun ini tak boleh jalan
Langkah ku kini dapat sekatan
Dalam bualan akan diperkatakan
Agar bangsaku dapat keinsafan

Demikian Alif Mokhter berkira-kira
Sekalipun sudah lanjut usia
Melalui rancangan sejak muda
Cuba diikut untuk bahagia

10.00 pagi - 20 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 1999 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)