Gugusan Syair Alif Mokhter

Perkampungan Peneroka

Bertemu kami di sebuah perpindahan
Di mana perkampungan sebuah penempatan
Hati diimbau pelbagai persoalan
Kini masyarakatnya baru berjiran

Datang kami dari beberapa sudut
Anak-anak Malaysia yang kerap melutut
Faham dan ragamnya berbagai anut
Di sini pada awalnya nampaknya kusut

Di sana pembaruan mahu dilaksanakan
Oleh pemimpin yang menerima pemilihan
Lah muafakat, berunding mencari kebulatan
Kan menyatukan ragam, adat dan keturunan

Membimbing masyarakat yang banyak kerenah
Gunakan pengalaman, gunakan siasah
Sabar, tekun dan sedia bersusah-payah
Mengelakkan di sana tak ada telagah

Mahukan pembaruan ke arah satu matlamat
Menerangkan tujuan adakan rapat
Antara mereka mematuhi adat
Kena gayanya mereka kan terpikat

Pemimpin yang tegak usah menyombong
Usah bercakap dicampuri bohong
Laku dan perbuatan usah serong
Rengankan tangan, sanggup menolong

Di orang susah usah dibiarkan
Mana yang sakit ziarah dilakukan
Antaranya pula mahukan bantuan
Hulurkan segera usahlah dilengahkan

Masyarakat yang baru banyak masalah
Pemimpin yang baru usahlah latah
Tak mampu memimpin berterus-teranglah
Mungkin yang baru sanggup ke tengah

Banyak terdapat yang tanpa pengalaman
Dalam dadanya tak pula berpengetahuan
Ke hulu ke hilir menunjukkan kebolehan
Di dalam dewan membanyakkan cawan

Para peneroka usah pula berlagak
Menyombong, bercakap banyak tergelak
Kita semua bukan lagi budak-budak
Hormati carian membekalkan anak-anak

Tunjuk ajar kita terima dengan baik
Sekalipun dah reti tegal cerdik
Di rumah fikirkan dulu wahai encik
Yang buruk buang eloknya saja ambik

Ini pesan rang tua pada tuan-tuan
Kecil orang usah nak ditelan
Buruk orang usah disangka tak berpengalaman
Cantik orang usah disangka sultan

Setakat ini pandangan kami
Di dalam masyarakat yang sanggup berdikari
Bersama-sama hendaknya kita menyedari
Seia sekata ketika duduk dan berdiri

Ahad 7.00 petang - 26 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)