Gugusan Syair Alif Mokhter
Menunaikan Haji
Tidak menulis sudah seminggu
Sekalipun tidak sesiapa mengganggu
Bukan pula tegal dah jemu
Cuma ilham tak ada di samping ku
Tadi sudah diberitahu
Seorang kawan menghrap pada ku
Menulis khat pada beg biru
Beg tempat kain baju
Sekarang baru saja balik
Menulis khat yang dianggap baik
Beg ke Makkah biarlah cantik
Gitulah selalu dah aku buek (buat)
Harun Haji Amin nak berjalan
Menunaikan haji menyambut seruan
Harapannya pada ku dah ku tunaikan
Di sampingnya restu aku iringkan
Tidak lupa memberinya nasihat
Di mana perjalanan untuk beribadat
Hati usah bersimpang berselirat
Tuhan sajalah selalu diperdekat
Di perjalanan atau di mana berada
Dalam masjid atau di kotaraya
Usah dikenang diri berpesta
Kekalkan niat beribadat saja
Di tanah Arab di musim haji
Dimaklumi oleh yang telah pergi
Pelbagai kepayahan menimpa diri
Usah dihirau cuma penguji
Dalam Quran pun dah dijelaskan
Manusia ke sana menunaikan kewajipan
Cukup bekal untuk perjalanan
Susah dan payah tak lagi dikenangkan
Demikian orang dimaklum sudah
Di tanah Makkah dan jua Madinah
Berhawa panas bibir pun merekah
Gentar dan takut di hati tak usah
Di mana kita ada saja dugaan
Terimalah dengan penuh kesabaran
Berlindung sentiasa kepada Tuhan
Di samping perasaan dipenuhi kesyukuran
Siang hari berada di sana
Elakkan mandi dek panas mendera
Banyakkan minum setiap ketika
Duduklah di masjid beriktikaf sentiasa
Segala kemudahan ada disediakan
Sakit pening cukup kawalan
Tempat tinggal amat menyenangkan
Makan minum semua memuaskan
Masak sendiri disana boleh
Segala kehendak boleh dipilih
Makan kat restoran taklah leceh
Cuma duit bawa lebih
Membeli-belah mahulah berhati-hati
Bukan tegal takutkan rugi
Mungkin poket kering sendiri
Semua barang rasa nak beli
Murah, mahal tidak dinilai
Bila sampai kat satu kedai
Tegur-sapa penjualnya pandai
Di sana wang keluar berderai
Ukur tempohnya diri 'kan balik
Wang di poket selalulah selidik
Hubaya hubaya tak ditimpa serik
Oleh yang mustahak tak dapat dibuek (buat)
Terutama dam yang mesti dibayar
Adanya khilaf buatan terlanggar
Di awal di akhir tidak disadar
Wang kat poket mesti keluar
Nyata sudah segala peruntukan
Selama di Makkah ada lebihan
Di situ jua perlukan perhatian
Adar sesal tak datang kemudian
Beriktikaf, berwirid banyakkanlah
dalam masjid Makkah Madinah
Seumur hidup mugkin itulah
Tempat suci tetamu Allah
Kecuali wang banyak di pinggang
Bolehlah ke sana berulang-ulang
Umrah dianyakkan kini tak terhalang
Tak ada puasnya dek banyak orang
Puji dan puja malah menyembah
Pintak dan pinta malah berdoalah
Hati tak ada resah gelisah
Petunjuk, hidayah mahu dianugerah
Tak ada penatnya kalau berdiri
Tak ada letihnya bila berlari
Apalagi duduk memuji Rabbi
Atau bersujud mengabdi diri
Di tangan Tuhan ketika itu
Allah menjemputnya menjadi tetamu
Pergi dan balik dari situ
Ukuran Tuhanlah balasan sesuatu
Pada mereka dah ada belanja
Segeralah tunaikan secepat-cepatnya
Usah ditunggu bertukar tahunnya
Bersihkan hati seikhlas-ikhlasnya
Kalau dah merasa menunaikan haji
Fikiran sentiasa saja nak lagi
Ada saja wang akan pergi lagi
Kecuali umur tak mengizini
Terimalah kawan madah ku ini
Tanda bersaudara jadi bukti
Pada agaknya nasihat ku ini
Kalau nak lebih guru dicari
Selasa 11.40 pagi - 26 Mei 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)