Gugusan Syair Alif Mokhter

Menunaikan Jemputan (ii)

Keinginan menulis amat ketara
Badan letih dan mengantuk amat ketara
Dan cuba-cuba mendekati meja
Untuk keperluan yang meronta

Tambah ilham tak kunjung datang
Seni yang terukir nampaknya tegang
Jalannya bak aur ditarik songsang
Hati dan otak terus berperang

Terpapar jua secalit demi secalit
Berbentuk syair dapat ku catit
Dek pambaca usahlah diungkit
Tegal keindahannya amat sedikit

Berpanjangan keinginan terus meronta
Madah terus-menerus dicipta jua
Hendaknya perubahan segeralah tiba
Ilham yang bagus datang menerpa

Teringat semalam kakak berpesan
Dek dah tua dahlah jadi belacan
Duduklah kat masjid menunggu azan
Banyakkan ibadat buat bekalan

Aku cuba pegang ingatan begini
Tapi oi payahnya nak dituruti
Peel aku banyak dah mengetahui
Suka bual kat kedai kopi

Cuma satu dapat ku elak
Sejak dulu kini dah jelak
Berlanggan akhbar dan duduk melepak
Duduk melepak laku budak-budak

Kisah dua hari dah berlaku
Ini ku rakamkan di sebuah buku
Taklah mahu terbenam di kalbu
Terbenam kat kalbu tak diketahui cucu

Masih lagi pena ku kupegang
Jam di dinding dah jelas sekarang
Menentukan hari dah beransur petang
Solat Zuhur dah sepatutnya sekarang

Tulisan aku masih lagi lalu
Tegal solat dan makan berhenti dulu
InsyaAllah ada masa menunggu
Kan bersambung dengan tajuk yang baru

Sebelum tulisan kini direntikan
Syafaat Tuhan aku harapkan
Kekal aku menerima pemberian
Berfaedah nanti semua sajian

Ampun maaf aku meminta
Salah dan khilaf jika ketara
Ambil yang berfaedah kiranya ada
Mana yang kabih(?) biarkan saja

Aku mahu bangun dan mandi
Menunaikan solat dan makan nasi
Perut besar dah kerap menyanyi
Selalunya jam dua dah diisi

Isnin 3.30 petang - 4 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)