Gugusan Syair Alif Mokhter
Menulis Tanpa Ilham
Bersyair atau menulis pantun
Dicuba-cuba semuanya dengan tekun
Dengan paksaan kehendaknya dituntun
Kini dibaca keindahannya sebun(?)
Jam sembilan malam menjelma
Di sana kemahuan di paksa-paksa
Mengukir syair lagi ku cuba
Buktinya ini cubalah baca
Sepatutnya aku sekarang makan
Malangnya hidangan belum disajikan
Diri ku bawa mencari hiburan
Dengan bersyair lagunya didendangkan
Banyak kali ku susun madah
Berbagai bentuk semuanya indah
Tapi ini aku tak tahulah
Indah tidaknya tetap ke tengah
Tatkala hati banyak masalahnya
Demikian diri dilamun duka
Diselangi pula budak bercempera
Di sana ilham takkan menjelma
Kini menulis ilham tak datang
Ke jauh malam sejak petang
Ku anggap hasilnya lintang-pukang
Dengannya ku letak kalam batang
Syair ini terus jua dicipta
Sedikit-sebanyaknya menentukan cara
Walau tak menarik sebagai patutnya
Berguna buat meneroka suasana
Nafas ku tarik panjang-panjang
Agar terhidu madah yang jumbang
Atau menguntum ilham berkembang
Yang diingini tak jua datang
Apalah ertinya kembang bertuah
Jalan memetiknya amatlah payah
Keinginan ke sana merapah-rapah
Dapat tidaknya aku cuba jualah
Mungkin jua dapat diambil
Dengan cekal berhati degil
Yang tercapai taklah stabil
Dibawa ke pasar harganya kecil
Demikian hati tidak berkehendak
Walau berbagai caranya mengajak
Tunggu sejuknya untuk bertindak
Kiranya tak percaya rasalah pulak
Sekian menulis ilham tiada
Bila dinilai oleh pembaca
Tentu keindahannya tidak berjumpa
Maaf, ampunilah saja kat penulisnya
Isnin 11.40 pagi - 27 April 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)