Gugusan Syair Alif Mokhter
Mara Terus
Aku mahu menulis lagi
Di tengah maya yang sibuk ini
Di mana coraknya berbagai ragi
Rebah dan bangun di sana teruji
Kiranya insan tidak waspada
Dalam hidupnya licin dan calar
Tanpa bekalan menempoh belukar
Langkah diatur kerap tercabar
Dalam Islam paling utama
Akal waras ilmu bersama
Wajib dituntut kiranya tiada
Terus menerus sepanjang masa
Ilmu banyak akal sempurna
Tegaklah iman membentuk ugama
Dengannya Islam berkembang merata
Di dunia selamat dari petaka
Berebut manusia pergi belajar
Tua, muda, kecil dan besar
Kini meliputi kampung dan bandar
Pengetahuan dipegang mengubah dasar
Ilmu yang dituntut masa kini
Panduan untuk makan gaji
Bila tamat dari universiti
Jawatan dipegang tinggi sekali
Orang memandangnya telah berjaya
Rumahnya besar tempat mulia
Kian kemari dengan kereta
Barang kehendak lulus semua
Sayang mereka banyak kedapatan
Ugama pula tidak diamalkan
Sejak kecil tidak diajarkan
Kemewahan kini saja dikekalkan
Tidaklah ada ertinya mereka
Bekal mati padanya tiada
Tiba masanya satu ketika
Ketukan iman datang menerpa
Kiranya mereka masih berkesempatan
Memupuk iman mengenali Tuhan
Sesat mereka taklah berkepanjangan
Dunia Akhiratnya bahagia berterusan
Malang sungguh yang lupa daratan
Ketukan iman tidak dipedulikan
Segala yang ada dianggap kebahagian
Kekal dimiliki zaman-berzaman
Tahukah tidak wahai saudara
Dunia ini hanya sementara
Jambatan ke Akhirat kekal di sana
Semua yang hidup di Mahsyar terkumpulnya
Tuhan menjanjikan adanya pembalasan
Di depannya diadakan pula penimbangan
Banyak kebaikan di syurga ditempatkan
Berat kejahatan ke neraka dicampakkan
Bila dikata hidupnya sesat
Dia pun marah terlompat-lompat
Apatah lagi diberikan nasihat
Kerana iblis di dirinya mendekat
Apakah mereka terbiar begitu
Nampak salahnya tak diberitahu
Tapi banyak mengibaratkannya tebu
Busuk seruas dibuang selalau (selalu)
Ulangi mereka dengan budi
Berilmu luas berpengetahuan tinggi
Sabar dan cekal disampingnya berdiri
Di sana kesempatan nasihat diberi
Tegakkanlah kebenaran berdikit-dikit
Di mana usaha sekalu pun pahit
Tekun dan bersedia terus bergarit
Peduli ngarai, paya dan bukit
Bila usaha dah banyak di ikhtiarkan
Langkahnya kekal tanpa perubahan
Biarkan di sana mereka kerugian
Menunggu Akhirat dalam kesesatan
Tiada jalan tanpa penghujung
Tapi daratan terhenti dek tanjung
Langkahkanlah kaki mengejar untung
Akhirnya pasti kejayaan bertembung
Bersedialah tuan menabur budi
Usah diharap wang berpeti
Upahnya mahal di Akhirat nanti
Janji Tuhan sudah menanti
Di dalam berjuang menuju keredaan
Bersabar bersyukur tergenggam di tangan
Quran dan Hads jadi panduan
Rintang dan halang senang di hindarkan
Perjuangan Rasul jadikan contoh
Diazab kaumnya dia tak ngeluh
Sepanjang malam hingga ke subuh
Berdoa bermunajat tanpa berlabuh
Tuhan sentiasa beliau hampiri
Di sepanjang langkah tak pernah dilupai
Kejayaan berterusan hari ke hari
Makkah yang tinggal ditawan kembali
Mahulah bersabar tibanya bencana
Bersyukur segera menerima kurnia
Kiranya ini kekal di pelihara
Dunia Akhirat aman sentosa
Setakat ini berhenti dululah
Disambung lagi insyaallah
Maafi fakir tersilap tersalah
Buang yang buruk ambil yang berfaedah
4.45 petang - 24 April 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)