Gugusan Syair Alif Mokhter

Kian Petang Kian Cerah

Kini aku masih berbangga
Tegal dapat lagi berseloka
Menyanyikan lagu riang ria
Di dalam alamNya yang penuh pancaroba

Madah-madah yang aku bawakan
Tetap segar dengan sedikit perubahan
Gitulah yang hati ini mahukan
Walau dah banyak tempo dibaharukan

Demikian banyaknya orang suka
Lagu-lagu lama yang masih bergaya
Beralun lembut terasa-rasa
Mengetuk hati dan jiwa raga

Sejak dahulu dah banyak dicubakan
Di tengah lagak berbagai aliran
Indahnya yang lama tetap menawan
Tambah dituntun tambah menghiburkan

Ada yang baru nampaknya indah
Pelbagai warna jelas terserlah
Muda-mudi tunduk tengadah
Memadu irama yang nyata merah

Kian lama yang tadinya diburu
Terasa jemunya kemudian tak laku
Bila tiba generasi yang baru
Kat yang tadinya lama mereka perlu

Cuba bersama kita perhatikan
Ini sebuah yang dinukilkan
Bukan mengajak sama-sama mempertahankan
Kat yang lama itu kita banggakan

Cuma hati ini mengharapkan
Merenung jauh nun ke hadapan
Di antara baru dan lama diketengahkan
Di sana bersama membuat perhitungan

Para penyair dan si bijak pandai
Di timur di barat cuba mencapai
Keindahan riak ombak di pantai
Panaroma senja tak dapat dipertikai

Usah yang baru dek barunya ditelan
Jangan yang lama dek lamanya dicampakkan
Ambil yang baru eloknya dipersetujukan
Pilih yang lama yang boleh digunakan

Itu satu kaedah yang baik
Memupuk memperbaru agarnya cantik
Generasi ke generasi taklah berserik
Mencipta melagukan rintik berbarik

Demikian fakir punya pendapat
Seni yang dicipta bersatu bermuafakat
Mencari ke laraiperlulah yang rapat
Untuk maya yang hidup bermasyarakat

3.30 pagi - 25 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)