Gugusan Syair Alif Mokhter

Kepada Allah Tempat Meminta

Oh Tuhan Yang Maha Agung
Anugerahilah aku payung pelindung
Aku tetap terus kehujung
Bahaya di depan tidak terharung

Oh Tuhan malikul manan
Hidup ku di dunia penuh perjuangan
Anugerahi daku hidayat berkekalan
Memudahkan daku menyempurnakan amalan

Sihat badan yang aku perguna
Pemberian mu, oh Tuhan Yang Maha Kaya
Kekal hendaknya selama-lamanya
Sepanjang hayat ku yang masih ada

Beban sekarang amatlah berat
Di kiri kanan penuh sarat
Semuanya bekal menuju Akhirat
Amal kebajikan pelindung mudarat

Takkan ditinggalkan barang sedikit
Selagi badan boleh bergarit
Kurniakan daku pengawal pengapit
Sentiasa sabar walaupun perit

Sentiasa saja aku munajat
Membanyakkan solat saling bertaubat
Agar terluput segala maksiat
Kiranya terlanjur dan dah terbuat

Betapa malangnya diri ini
Kiranya kesalahan dikau tak ampuni
Dunia Akhirat dah tentu rugi
Dikaulah Rahman Maha Mengasihani

Niat di hati sentiasa bertahta
Meminta rahmat kurniaanMu jua
Dunia Akhirat kekal bahagia
Kecelakaan tetap tidak menimpa

Kini sentiasa aku memegang
Siang dan malam pagi dan petang
Quran dan Hadis dibaca berulang
Berpandu dengannya selama berjuang

Dalam hidup melalui jambatan
Kini hujungnya dah berhampiran
Cekal dan tabah masih berterusan
Beramal beribadat tetap dilakukan

Bunga, buah, mumbang pun gugur
Muda, tua semuanya lebur
Masih di tandan tumbuh menjulur
Tetap segala-galanya Kamulah mengatur

Padah Akhirat amatlah berat
Kepada mereka bergelumang maksiat
Mereka banyak beramal salihat
Di sana tempatnya dilingkungi rahmat

Wahai adik abang dan taulan
Dunia ini tempat penyempurnaan
Membuat baik atau kejahatan
Padamulah saja buat pilihan

Isnin 2.15 tengahari - 11 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)