Gugusan Syair Alif Mokhter

Ingatkan Mati

Aku tetap menyanyikan lagu-lagu lama
Tanpa mengubah rentaknya yang sedia ada
Berpantun, bersyair menghibur duka
Dalam suasana perit dan derita

Tanpa disedari alam ini beredar
Umurku mengekornya dari luar
Insan yang kecil kemudian besar
Tibanya ajal tidaklah sedar

Demikian aku yang sedang berjalan
Menuju matlamatnya ke mana diarahkan
65 tahun sudah di atas jambatan
Di manakah hujungnya tak siapa menentukan

Semua yang hidup di sana sudahnya
Itulah ajal amat tepat tempohnya
Tidak terlewat tercepat datangnya
Taklah siapa yang tahu tempohnya

Pastilah beringat sebelum datang
Malikulmaut menjemput untuk pulang
Menyediakan bekal pagi dan petang
Beramal beribadat berulang-ulang

Jauhkan tegah lakukan suruh
Itulah bekal menjadi suluh
Laksana perahu dialah pengayuh
Tanpa pengayuh hanyutnya jauh

Suruhan Tuhan kekal diamalkan
Di alam Akhirat syurgalah ditempatkan
Bila larangan tempat dikerjakan
Ke dalam neraka pula dicampakkan

Janji Tuhan sudah didedah
Dalam Kuran berperman Allah
Demikian Hadis sabda Rasullullah
Usahlah seorang cuba membantah

Percaya dengannya itulah iman
Kuran dan Hadis jadi panduan
Kiranya dada dengannya dipenuhkan
Dunia Akhirat mendapat keselamatan

Kuran dan Hadis itulah obor
Di alam maya hingga ke kubur
Belajar beramal usahlah kendur
Terhindar nanti dari tercebur

Tuhan tidak memandang darjat
Banyak amalan bila disukat
Berserta Ambia yang tinggi mertabat
Di sana dia menerima nikmat

Usah dilupa mengingati mati
Menambah tenaga untuk berbakti
Tuhan suka dan jua nabi
Di dunia terhindar segala asi

2.00 petang - 23 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)