Gugusan Syair Alif Mokhter
Imam Tahlil
Sengaja dituliskan apa yang dirempuh
Dalam hidup yang masih berkayuh
Sekalipun ada buatan yang hodoh
Agar bandingan kan jadi suluh
Anak, cucu-cucu dan pembaca semua
Peliharalah ini kan jadi pusaka
Laluan hidup suka dan duka
Dek bumuputra yang dah lanjut usia
Dek semalam dok rileks sahaja
Tidak menulis tidak membaca
Hanya pagi menyudahkan kerja
Kerja kat ladang seperti biasa
Jam sebelas menunaikan jemputan
Membaca Yasin sebelum makan
Tuan rumah akan berjalan
Ke Tanah Suci tetamu Tuhan
Sebelum Yasin 41 dibaca
Bacaan berzanji dilagukan pula
Membuai indui dibuat jua
Jam dua petang selesai semua
Aku terbaring di atas ranjang
Terus menerus sepanjang petang
Tanpa gangguan hati ku lapang
Maknya tak ada pergi bertandang
Lelah, letih hilang semua
Ilham tak ada boleh berleka
Bila tiba di waktu senja
Bergegas sembahyang dek sabit kerana
Sabit kerana satu undangan
Lepas maghrib jamuan makan
Satu keluarga nak menunaikan
Fardu yang lima seruan Tuhan
Masa begini imam tak ada
Banyak hal dek jemputan jua
Terpaksa aku mengambil tempatnya
Mengimamkan jemaah di sana pula
Tatkala tidak pernah membuat
Dilanda gemuruh amatlah ligat
Terpaksa surah dibaca kuat
Demikian doanya membacanya bersurat
Hingga selesai semuanya itu
Jamuan dihidang untuk tetamu
Sambil makan bual ku laju
Pulang ke rumah dah pukul satu
Tidur malamnya tak kunjung nyenyak
Terfikir umur ku kian banyak
Banyak jemputan tak boleh ditolak
Menyelesaikannya mungkin memberatkan otak
Tegal perjalanan dah banyak jauh
Antaranya halangan terus dirempuh
Tetap mara bertekad teguh
Bersiap sedia mengelakkan jatuh
Ahad 10.50 pagi - 10 Mei 1992
Ke Halaman Utama
Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)