Gugusan Syair Alif Mokhter

Imam Khariah

Tugas imam amatlah berat
Banyak cabaran yang mesti disekat
Lahir batin jauh dan dekat
Jatuhlah martabat tak tahu menghambat

Untuk itu caranya membendung
Ilmu yang banyak ada didukung
Di samping Tuhan tempat berpayung
Dah nampak panas cepat berlindung

Kat aku kini ada disogokkan
Imam Khariah kat aku dipikulkan
Senang aja aku hindarkan
Kecuali ketikanya tak dapat dielakkan

Ilmu yang lengkap kiranya tak ada
Usah dipikul tegal mengada-ngada
Ada kedapatan menepuk dada
Kononnya imam boleh dipikulnya

Menjadi imam soalnya banyak
Sebuah masyarakat di bahu terletak
Ada kalanya tidur tak nyenyak
Terutama yang lekuk mahu ditambak

Mungkin bocor boleh disumbat
Atau patah boleh ditongkat
Nampak kat mata boleh disiasat
Bila yang ghaib bagaimana menghambat

Umpama kesalahan tiba-tiba menerpa
Sekali dua boleh dipada
Kiranya banyak menunda-nunda
Mungkin poenyelesaian jadi sia-sia

Demikian diri sentiasa bongkak
Untuk bertanya tak pula hendak
Kononnya ilmu kat kitab banyak
Banyak membaca mudahlah bertindak

Sekalipun banyak kita membaca
Tanpa mengadap guru yang mengajarnya
Di sana pengetahuan dah banyak rasanya
Masih juga tidak ada fadilatnya

Kalau belajar tidak berguru
Ibarat air melurutnya laju
Guru ibarat pasir dan batu
Pengempang air bertakungnya di situ

Bila air banyak betakung
Berbagai ikan boleh ditampung
Itulah fadilat membawa untung
Dunia Akhirat diterangi tanglung

Mesti belajar walau di mana
Selagi hayat masih berserta
Itulah perintah Nabi kita
Agar umatnya hidup mulia

Syariat Nabi di penuhi iman
Ilmunya dituntut cahaya Tuhan
Cahaya Tuhan tidak ditempatkan
Bergelumang asi seluruh badan

Ahad 12.20 tengahari - 10 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)