Gugusan Syair Alif Mokhter

Harta Hanya Rebutan

Aku merasa diriku diganggu
Ajakan banyak bertalu-talu
Dari darat hilir dan hulu
Oleh rakan jiran anak dan cucu

Poket dah kemarau masa kini
Hasil getah sedikit didapati
Berpucuk mudanya setahun sekali
Pekebun kecil, ketikanya berhati-hati

Boros, berjimat selalu diterangkan
Untuk difikir dan diamalkan
Berboros belanja hendaklah dielakkan
Berjimat berbelanja menuju kebaikan

Tanpa kesedaran tanpa berkira
Mengikuti selera dalam berbelanja
Kerana nafsu ibarat raga
Takkan penuh sampai bila-bila

Memang insan banyak kehendak
Semuanya berkenan bila nampak
Apalagi di orang ada, di awak tidak
Berani melabur di kedai pajak

Harga barang kini tinggi
Kiranya berbelanja tak berhati-hati
Mungkin membencanakan diri sendiri
Keamanan rumahtangga kan bergegar nanti

Kerap hati salah buat keputusan
Hanya sekarang kehendak dilepaskan
Pagi dan petang itulah diharapkan
Setelah mati jadi peninggalan

Di banyak orang gitulah pendapatnya
Berlumba-lumba mengumpul benda-benda
Ke sana ke mari menceritakan keadaannya
Konon si kawan tak memilikinya

Tiba-tiba masanya dah sampai
Malikul Maut tiba ajalnya dikirai
Menarik si hidup yang sedang lalai
Mereka pun terkejut fikiran berkecai

Janji Tuhan amatlah tepat
Ajal datang tak siapa menghambat
Tak sesaat terlewat tercepat
Ketahui oleh mu wahai sahabat

Sudah lama orang mengetahui
Alam Barzakh sentiasa menanti
Untuk manusia yang sedar diri
Tentu dah bersedia saat begini

Sebelum ajal seseorang datang
Pastikan beban kan dibawa pulang
Kerana mati berjanji hanya seorang
Ada bekal bolehlah berbincang

Wang berjuta harta bertimbun
Di Alam Barzakh tak berguna sedikit pun
Apalagi nak membeli ampun
Asi banyak kan Mungkar Nakir balun

Ditinggalkan harta sebanyak-banyaknya
Jadi rebutan kononnya pusaka
Setelah dikebumikan tak berapa lama
Berdulu-dulaun yang tinggal menuntut bahagiannya

Mana yang jauh dah pasti pulang
Bagi yang dekat hanya bercadang
Membacakan doa tiga malam berulang
Mereka yang kasih kekal terkenang

Harta berlunggun habis diperkecai
Badan di Barzakh belum bangsai
Menunggu Mahsyar di sana menapai
Tanpa amalan sentiasa saja dibantai

Di Alam Barzakh dah dapat bahagian
Setakat amalan yang di dunia lakukan
Amalan yang baik melepasi soalan
Cemeti Mungkar wa Nakir tak hinggap kat badan

Amalan yang buruk banyak dibuat
Ketika di dunia dilingkungi maksiat
Menerimalah bahagian cemeti menyebat
Masih di Barzakh dah amat tenat

Lebih-lebih lagi di Alam Akhirat
Tuhan adili dengan amat tepat
Soalan di sana tak mulut lagi menjawab
Kaki menyaksi tangan berdebat

Di depan Tuhan Rabbul Jalil
Di kiri di kanan dah sedia dalil
Buku catitan dah dibawakan tampil
Baik dan jahat tak sedikit tercicil

Amalan yang baik di dunia amalkan
Setelah ditimbang ke syurga dihantarkan
Yang buruj banyak telah dilakukan
Akan balasannya di neraka untuk perunan

Apa susahnya membuat bekal
Tatkala di dunia sebelum ajal
Tiap-tiap tegahan mestilah ditinggal
Suruhan dibuat tanpa disangkal

Harta peninggalan kok banyak berlebih
Digunakan waris ke tempat bersih
Diiringi doa dek anak yang salleh
Roh si mati tempatnya terpilih

Demikian peninggalan telah terbina
Rumah tumpangan fakir miskin terlaksana
Jalan, masjid Quran dah diderma
Di Barzakh di Mahsyar azab tak ada

Harta peninggalan telah terbina
Kekal tegak sentiasa diperguna
Belanja membuatnya dari lubuk celaka
Di dua alam terus-menerus azab diterima

Adanya ini hanya madah
Untuk pembaca yang suka mutalaah
Ambil kiranya ada faedah
Setelah dibaca usah disepah-sepah

Rabu 11.15 pagi - 29 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)