Gugusan Syair Alif Mokhter

Godaan Iblis

Syarifah, mari dekat dekat kemari
Aku nak mengenalkan sebuah erti
Erti iblis yang Tuhan murkai
Dia ada menjelma di sini kini

Cuba difahami kita berdua
Lelaki perempuan bersua muka
Cara begini Tuhan murka
Berlabun (?) malam terlalu lama

Itulah iblis sedang menggoda
Agar kita melakukan noda
Anak Adam dan Siti Hawa
Dibawanya berlalai berleka-leka

Lelaki perempuan walau di mana
Keduanya ditarik memadu cinta
Peduli miskin atau pun kaya
Kehendak nafsu payah membendungnya

Demikian buatan satu kekejian
Kononnya cerdik fitnah di taburkan
Peduli raja merata disogokkan
Iblis akan memesong pengertian

Menyamun atau mencuri umpamanya
Semua orang benci melakukannya
Undang-undang negara sengaja dicipta
Yang sengaja berusaha tak lepas darinya

Ini fahamilah oh Syarifah
Buatan jahat taklah takdir Allah
Iblis dah berjanji dan bersumpah
Manusia yang lalai kan diajaknya berkelah

Diadu dombanya dua sahabat
Seboleh-bolehnya kawan berdua bersilat
Kini bercerai yang dulunya rapat
Iblis berjaya kat satu muslihat

Ingat Syarifah aku nak ingatkan
Agar iblis kau tak disesatkan
Pagi dan petang dilupa jangan
Kepada Tuhan yang Pengasih Penyayang

Bacalah selalu Quran dan Hadis
Agar terhindar godaan iblis
Selalulah menghadiri majlis-majlis
Mendengar syarahan dan kata bertulis

Fahamilah oh adikku Syarifah
Belum kahwin usahlah gundah
Jodoh kita di tangan Allah
Berdoalah agar segera serumah

Dalam bercinta amatlah manis
Teruna dara kan melukis-lukis
Terkenal kisah Puteri Balqis
Laila dan Majnun pernah menangis

11.50 pagi - 21 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 1999 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)