Gugusan Syair Alif Mokhter

Doa

Dengan nama Allah Yang Pengasih dan Penyayang
Lima kali sehari aku bersembahyang
Mengingati mu tanpa lekang-lekang
Lindungi daku dari sebarang petualang

Syafaat Rasul Mu Ya Allah
Nabi Muhammad anak Aminah
Syafaatnya anugerahilah
Hidup dan mati ku tak resah-gelisah

Sekelian keluarga dan sahabat Rasul
Doa mereka semuanya makbul
Harapan daku kini menyusul
Selamat bahagian kekal ku rangkul

Oh Tuhan ugama ku kini
Kurniakanlah yang asli
Hak Muhammad yang sejati
Kan ku amalkan kekal abadi

Ugama Islam yang mulia
Pegangan Muslimin semua
Kekalkan daku menganuti bersama
Selagi denyut nadi ku masih terasa

Iman Mukminin yang kau anugerah
Itulah juga ku pinta Ya Allah
Lindungi daku agar tak berpisah
Ke akhir hayat ku kekal menyerlah

Sembahyang yang aku dirikan
Khusyuk tawadduknya aku harapkan
Dari Mu ohh pemilik sekelian alam
Seperti orang yang dah kau tunjukkan

Demikian amal ibadat yang aku buat
Oh Tuhan tempat aku bermunajat
Semuanya baik lagi berkat tercatat
Sebagaimana salihin dah mendapat

Niat aku yang selamanya ini oh Rabbi
Aku lahirkan amat baik sekali
Kekalkanlah timbulnya dari hati
Seikhlas mereka yang dah menikmati

Dosa-dosa yang telah aku lakukan
Kurniakanlah keampunan oh Tuhan
Sebagaimana keampunan yang kau berikan
Pada orang yang kini dalam kebahagiaan

Oh Tuhan Yang Maha Kaya
Selama hidup daku hendaknya
Seperti hidupnya ulama semua
Kekal beramal untuk mu jua

Manakala tempoh ajal ku sampai nanti
Oh Tuhan hendaknya kau anugerahi
Seperti orang yang syahid mati
Sebab amat takut aku jadi orang yang rugi

Dalam Akhirat hendaknya oh Tuhan
Ke dalam syurga Dikau aku ditempatkan
Berserta dengan ambia sekelian
Kekal di sana mengecap nikmat pembalasan

Selasa 2.55 petang - 26 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)