Gugusan Syair Alif Mokhter

Di Kampung Berguna Belum

Oi bujang yang lakek di ulu
Di sana tidak banyak yang tahu
Lagi kacak ke kota merambu
Mungkin di sana berubah laku

Nyanyian ini membawa risau
Satu malam buat-buat mengigau
Sebuah keluarga jadi kakau
Mereka bersetuju aku merantau

Aku tahu bila berpindah
Di sana bertemu lima faedah
Terutama sekali rezki murah
Kedua ilmu banyak bertambah

Ketiga perangai akan berubah
Keempat terdapat penglipur gundah
Kelima sahabat di sana bersepah
Boleh dapat seiring langkah

Banyak bujang sejak dahulu
Pergi merantau mulanya merambu
Setelah lama menetap di situ
Peluang yang baik dapat disapu

Mulanya berniaga kecil-kecilan
Tekun sabar ramah berkawan
Sedia menolak sebarang cabaran
Ternyata hujungnya nampak kemajuan

Kini banyak yang sudah berjaya
Di negeri orang dah kaya-raya
Penat merambu dah punya kereta
Keluarga di kampung turut gembira

Apa tak terfikir dari awal
Di kala bujang tak siapa mengawal
Tinggalkan kampung carilah hal
Di perantauan otaklah jadi modal

Kalau otak dipusing ligat
Mana yang jauh kan jadi dekat
Kiranya panjang boleh dikerat
Ada yang tinggi mudah dipanjat

Hanya usaha dilipat-gandakan
Kejutkan diri senseng lengan
Peduli jelatang pedulikan syaitan
Biduk di air teruslah layarkan

Soal kahwin kemudian disebut
Ada duit gadis 'kan berebut
Petik jari mereka 'kan mengikut
Keturunan tak lagi bersangkut-paut

Dunia sekarang dipengaruhi wang
Ada duit semuanya sayang
Akan ditendang dek poket melayang
Oleh itu sedarlah kamu jang

Ahad 2.10 petang - 10 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)