Gugusan Syair Alif Mokhter

Dakwah, Rock, Dadah Dan Kumpulan Sesat

Apakah jadinya semuanya ini
Dia kononnya mencontohi Nabi
Dengan berdakwah kian kemari
Akan rumahtangga tidak diperduli

Bermusafir mereka masjid ke masjid
Berhari berminggu membanyakkan wirid
Makan dan minum berdikit-dikit
Bersabar bersyukur dek lapar menghimpit

Anak dan bini tinggal di rumah
Tanggungan mereka dibiarkan susah
Berikhtiarlah sendiri berpayah-payah
Diajarkan bersabar walaupun parah

Dalam bermusafir ke setiap ceruk
Di bawa dipikul belanga periuk
Pakaian masing-masing berbau busuk
Duduk bertafakur dirasuk ngantuk

Demikian sekumpulan manusia sekarang
Berpakaian rebeh berambut panjang
Di sebut rocker dek banyak orang
Terpekik terlolong di sepanjang simpang

Bergaullah mereka lelaki perempuan
Menjenguk masjid pula dipantangkan
Haram dan halal tak tau membezakan
Hangit hapak berbau kat badan

Mereka ini usahlah dilarang
Walau perbuatan dilihat curang
Mereka 'kan berlagak seperti hulubalang
Kepandaian ditunjukkan tak seperti orang

Sekumpulan lagi banyak menyuruk
Makan dan minum biasanya yang mabuk
Duduk berkhayal bukan dek mengantuk
Bila tak berpunya sanggup bertumbuk

Dikenali mereka mengambil dadah
Setelah berlebihan hidupnya parah
Dalam masyarakat tak lagi berfaedah
Pada negara kini jadi masalah

Pemimpin kini tak pula latah
kat kumpulan rock dan penagih dadah
Demikian pula kumpulan dakwah
Mereka diawasi sekalipun susah

Di sana lagi satu kumpulan
Kononnya Islam dipenuhi penyelewengan
Kini dikenali tersesat penerimaan
Kitabnya tersembunyi tak seperti Quran

Beramal beribadat menyuruk-nyuruk
Tidak seguru tak boleh masuk
Mencaci gurunya kan kena penumbuk
Kononnya syurga tempat mereka dah diuntuk

Kepada ibubapa semua sekali
Anak-anak kamu mestilah diawasi
Duduk melepak ke mana pergi
Selalulah selidik apa dah jadi

Ahad 1.35 petang - 17 Mei 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)