Gugusan Syair Alif Mokhter

Ciptaan Tersimpan Baik

Setelah mandi dan mengambil air sembahyang
Aku pun duduk dan terus mengarang
Sementara menunggu Asar menjelang
Kerna ilham tiba-tiba bertandang

Di mana jam di dinding ku tengok
Baru 4.45 jarumnya menunjuk
Tulisan aku tertera amatlah elok
Kumpulan Rakaah, Parisi aku bentuk

Taklah disedari masanya tiba
Generasi kini tak mampu membacanya
Kini banyak berlunggun atas meja
Entah bilakah masanya akan berguna

Pada ku tak peduli berguna tak berguna
Dibaca tidaknya tulisan begini rupa
Hanya akan disimpan aja semuanya
Kan memenuhi fail-fail dan laci meja

Antaranya dah pun aku taip
Dan disimpan dah siap berjilid
Kopinya kat Seremban dalam arkib
Buat diselidik oleh si arif

Kadangkala aku sengaja ke sana
Mengenalkan diri kat yang kerap bertanya
Selama ini aku hilang dari mereka
Tahu tahu tulisan aku banyak tercipta

Malangnya tulisan tangan yang aku gunakan
Dah berjilid dan di sana ada tersimpan
Tak boleh dibaca hanya jadi tuntunan
Dalam kotak kaca pengawasnya mempamerkan

Banyak yang suka melihat tulisan khatnya
Kadangkala mencuba-cuba menirunya
Tak seorang yang mampu menyamainya
Malah jauh dari serupa kat yang ada

Mereka kagum melihat aku menulis
Di depan mereka aku tulis berlapis-lapis
Ada ketikanya seolah-olah sebuah majlis
Di sana aku berceloteh tak habis-habis

Inilah kemampuan aku seorang
Kata mereka: "Susah bertemunya walau akan datang"
Madah-madah aku mereka harap jangan terbuang
Malah aku sendiri ada menyimpan dan menyumbang

Belum satu pun madah aku yang dah dicetak
Tulisan aku kini tersimpan amat baik
Aku hanya berpesan pada encik-encik
Nak digunakan boleh sedikit-sedikit dipetik

Boleh juga dicetak wahai tuan-tuan
Keizinan diberi setelah dapat persetujuan
Sekalipun penulisnya dah dulu mengadap Tuhan
Ada warisnya yang boleh buat ketentuan

Sekian saja tulisan aku kali ini
Tandanya aku sentiasa menabur bakti
Semuga berfaedah untuk bangsa ku sendiri
Sekarang atau oleh beberapa generasi lagi

Sabtu 5.20 petang - 25 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)