Gugusan Syair Alif Mokhter

Berita Oh Berita

Khabar apa yang patut dipercayakan
Khabar angin terlalu banyak kedapatan
Di dada akhbar pun ada disiarkan
Mulut ke mulut tak jua kekurangan

Hari demi hari ada-ada saja
Baik dan buruk terdedah semuanya
Menerimanya pada kitalah adanya
Otak dan hati jadikan neraca

Mendapat khabar yang banyak sekali
Bila lama duduk dikedai kopi
Ada jua di rumah kita sendiri
Dari radio dan kaca TV

Banyak orang sudah terlatah
Oleh khabar berharga murah
Mungkin jiwanya jadi resah gelisah
Di antaranya tak pula mengambil indah

Kiranya terlatah mendapat berita
Kepala kan pusing dan menyesak dada
Kerja tak sempurna dek kehilangan punca
Merosakkan diri mungkin jadi gila

Seperti semalam aku dapat berita
Datangnya pula tidak berpunca
Menungan aku pun panjang jua
Nakkan keputusan benar tidaknya

Hingga petang ku tunggu lagi
Moga-moga beritanya bersambung kembali
Yang diharap tak kunjung terjadi
Degup jantung ku hilang sendiri

Berita sedih yang semalam diterima
Pada mulanya kakau jua dibuatnya
Mujur fikiran amat tenangnya
Setenang tasik di waktu senja

Awasi saudara berita yang tersiar
Kiranya perlu usahlah diperlebar
Dari berita yang tersiar di akhbar
Perlu pembaca merenung dulu agak sebentar

Besar beritanya amatlah ngeri
Besok dinafikan berita ini
Sekalipun semalam heboh sekali
Sekarang suasana tenang kembali

Sebuah berita bohong terjali (terjadi)
Bergegar suasana seluruh negeri
Beritanya tak ditarik kembali
Ke mahkamah pula akan menghakimi

Demikian banyak telah kejadian
Mulanya benar tidak pula kemudian
Bagaimana otak untuk digunakan
Menapis berita yang banyak bertaburan

Apa lagi beritanya terdapat
Di kaki lima di kala merempat
Tegal gelabah disambung cepat
Pendek diperpanjang melarat-larat

Itulah berita amatlah dilarang
Buat bingung kat banyak orang
Pihak berkuasa banyak merancang
Dalam parlimen digubal undang-undang

Agar tenang masyarakat sentiasa
Terhindar hendaknya porak-peranda
Aman sentosa sebilang masa
Rancangan kerajaan berjalan berjaya

Satu satu berita usahlah dibawa
Kalau di sana tak memerlukannya
Terutama berita menggegar rumahtangga
Seelok-eloknya di sana peram sahaja

Orang tua-tua ada bermadah
Dalam mulut tak pernah berpisah
Laksana gigi dengan lidah
Ada kalanya tergigit berdarah

Demikian lagi kata rang tua
Menganga dulu baru berkata
Terlajak perahu berbalik saja
Terlajak kata besar padahnya

Percayakah tuan supaya diikut
Harimau tengkuk adalah mulut
Banyak sudah ini disebut
Kalau tak percaya tak jua karut

Kata rang tua telah dibuat
Ukur dahulu kemudian dikerat
Kini dah jadi kata hikmat
Banyak buktinya amatlah tepat

Itu pun ada orang mengata
Diacu-acu diuja-uja
Oleh bijaknya orang bercerita
Kita di dalamnya jadi pegangannya

Pada ku kini patut disambut
Dipilih yang baik walaupun melukut
Mana yang buruk buang ke laut
Menelan yang baru berpatut-patut

Seperti kekarutan yang dah didengar
Meluas masuk kampung dan bandar
Atau kebenaran telah tersebar
Timbang dulu ke dalam ke luar

Tapisan kebenaran telah terdapat
Kiranya perlu bertindaklah cepat
Kiranya di sana kekarutan melekat
Pedulikan saja ditumbuhi kulat

Tuhan suka pada kebenaran
Pahit padahnya usahlah dihiraukan
Kiranya di dunia kita disisihkan
Di Akhirat Tuhan ada ganjaran

Bagi penyebar kata-kata bohong
Masuk kampung keluar kampung
Celaka padahnya yang dia tanggung
Dunia Akhirat tak menerima untung

12.15 petang - 12 April 1992

Ke Halaman Utama

Copyrigth 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)